Salah guna BR1M boleh dikurangkan menerusi agihan berbentuk mekanisme campuran

Cynthia Ng
Januari 16, 2017 22:07 MYT
Kesedaran perlu ditingkatkan supaya tidak menggunakan wang bantuan BR1M untuk tujuan-tujuan lain. - Gambar hiasan
Agihan tunai secara langsung masih menjadi pilihan rakyat yang berhak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Walau bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pemikir Sheriff Osman Dr Rizal Abdul Rahman berpendapat pendekatan mekanisme campuran akan dapat mengurangkan sebarang rasa khuatir mengenai penyalahgunaan wang tunai tersebut .
"Dari segi pembaikan (BR1M), salah satu cara untuk meminimumkan kes penerima salah guna wang untuk kegunaan lain ialah selain memberi tunai, kita boleh bagi dua iaitu tunai dan baucer barangan yang boleh digunakan secara langsung di kedai-kedai tertentu." kata beliau ketika mengupas topik mekanisme agihan BR1M mampan di Hari Ini 8.
Menurut Dr Rizal, pemantauan yang dijalankannya di lapangan menunjukkan rakyat yang berhak menerima BR1M puas hati dengan bantuan menerusi tunai.
"Saya tidak melihat pelaksanaan BR1M bermasalah. Kerajaan lakukan perkara yang betul di mana pemberian secara pukal ditukar menjadi pemberian secara langsung kepada penerima.
"Wang digunakan seperti disaran kerajaan iaitu mengurangkan beban (isi rumah). Ada yang menggunakannya untuk beli barang keperluan, membayar hutang dan membayar bil elektrik," jelasnya.
Tambah Dr Rizal, kesedaran orang ramai perlu ditingkatkan supaya tidak menggunakan wang bantuan BR1M untuk tujuan-tujuan lain.
Kerajaan sedang mengkaji mekanisme baharu supaya BR1M diselaraskan dengan latihan kemahiran dan keusahawanan untuk para penerimanya memajukan diri.
#BR1M #Hari Ini 8 #Sheriff Osman Dr Rizal Abdul Rahman
;