Saham TNB meningkat hasil pemeteraian 3 PPA
Bernama
November 4, 2016 11:50 MYT
November 4, 2016 11:50 MYT
Saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Bursa Malaysia bertindak balas dengan baik selepas syarikat tenaga negara itu menandatangani tiga perjanjian pembelian tenaga (PPA) semalam.
Pada 11.09 pagi, kaunter itu meningkat empat sen kepada RM14.32 dengan 3.34 juta saham bertukar tangan.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Khamis, TNB berkata PPA itu dimeterai sebuah konsortium yang melibatkan ItraMAS Technology Sdn Bhd, Maltech Pro Sdn Bhd dan Cam-Lite Sdn Bhd.
TNB berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, meluluskan kontrak kepada konsortium itu untuk cadangan pembangunkan tiga projek solar 50 megawatt (MW) di Jasin (Melaka), Gurun (Kedah) dan Merchang (Terengganu).
Ia berkata setiap PPA, yang dijadual memulakan operasi komersialnya pada 31 Dis 2017, menetapkan obligasi kepada pihak-pihak terlibat untuk menjual dan membeli tenaga yang dijana oleh kemudahan itu selama 21 tahun, bermula dari tarikh operasi komersial, berdasarkan terma dan syarat perjanjian yang dipersetujui. -- Bernama