Saham RHB tinggi susulan kemungkinan jualan pegangan oleh Mubadala

Bernama
Januari 12, 2018 19:43 MYT
Saham RHB Bank Bhd diniagakan tinggi hari ini susulan berita mengenai potensi penjualan oleh pemegang saham kedua terbesarnya. - Gambar fail
Saham RHB Bank Bhd diniagakan tinggi hari ini susulan berita mengenai potensi penjualan oleh pemegang saham kedua terbesarnya, dana negara Abu Dhabi, Mubadala Investment Co.
Pada 3 petang hari ini, harga saham RHB Bank berada pada RM5.16, naik dua sen, dengan 1.23 juta saham bertukar tangan.
Menurut portal web yang dikendalikan oleh akhbar harian, Mubadala sedang meninjau pilihan bagi pegangannya dalam RHB Bank Bhd termasuk kemungkinan penjualan.
Katanya Mubadala telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan penasihat berpotensi untuk mendapatkan cadangan mengenai pegangannya sebanyak 17.8 peratus dalam RHB Bank selepas melihat pegangannya dalam pemberi pinjaman keempat terbesar di Malaysia itu sebagai bukan teras.
Ia sedang mempertimbangkan pilihan bagi pegangan tersebut sebagai sebahagian daripada kajian semula portfolionya yang luas.
Pegangan Mubadala bernilai RM3.66 bilion berdasarkan harga penutup pada Khamis dan mengikuti di belakang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, dana pencen terbesar Malaysia, yang memiliki 40.7 peratus.
Mubadala, yang portfolionya bernilai kira-kira US$127 bilion (US$1=RM3.97), memperoleh pelaburan RHB melalui penggabungan dengan dana negara, International Petroleum Investment Co, yang dimuktamadkan pada tahun lepas.
-- BERNAMA
#Abu Dhabi #Mubadala #pemegang saham #penjualan #RHB #saham
;