Saham perbankan seret turun Bursa Malaysia ke paras bawah 1,600

Bernama
November 28, 2024 20:12 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 6.76 mata, atau 0.42 peratus, untuk ditutup pada paras terendah intra hari pada 1,597.49 daripada 1,604.25 ketika ditutup pada Rabu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Penurunan saham wajaran tinggi perbankan menjejaskan Bursa Malaysia sehingga menyeret turun indeks di bawah paras penting 1,600 mata.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.76 mata, atau 0.42 peratus, untuk ditutup pada paras terendah intra hari pada 1,597.49 daripada 1,604.25 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.07 mata pada 1,606.32 dan mencapai kemuncak 1,608.01 pada sesi awal sebelum menurun hampir sepanjang hari sehingga penutup dagangan.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung 604 berbanding 415 manakala 486 kaunter tidak berubah, 964 tidak diniagakan dan 89 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.79 bilion unit bernilai RM2.90 bilion berbanding 3.19 bilion unit bernilai RM2.96 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan mengaitkan prestasi hari ini kepada sentimen keseluruhan pasaran meluas yang lemah apabila prestasi Wall Street merosot semalaman, menandakan penurunan pertama dalam lebih minggu ini, berikutan pelabur mengekalkan kedudukan susulan kenaikan baru-baru ini.
Pasaran Amerika Syarikat (AS) akan ditutup pada Khamis sempena cuti Kesyukuran dan akan dibuka semula pada Jumaat untuk sesi dagangan singkat yang memberikan hala tuju terhad untuk pasaran ekuiti.
Beliau berkata anggaran kedua untuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS bagi suku ketiga kekal tidak berubah pada 2.8 peratus, didorong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang kukuh, menonjolkan kekuatan berterusan ekonomi AS.
"Metrik inflasi juga menunjukkan kestabilan, dengan Indeks Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) teras meningkat 0.3 peratus pada Oktober dan 2.8 peratus tahun ke tahun, sejajar dengan jangkaan dan julat sasaran 2.0 peratus Rizab Persekutuan (Fed).
"Dengan itu, peserta pasaran kini menetapkan harga dalam kebarangkalian 66 peratus bagi pemotongan kadar 25 mata asas pada mesyuarat Fed pada 18 Disember," katanya.
Dalam negara, beliau berkata minat terhadap saham perladangan dan telekomunikasi pulih semula daripada jualan besar-besaran yang dicetuskan oleh keputusan kewangan yang tidak dijangkakan.
Berasaskan sektor, Indeks Pembinaan Bursa Malaysia mencatatkan prestasi cemerlang, disokong oleh laporan pendapatan dua hari lepas yang memenuhi jangkaan pasaran.
Pecutan dalam aktiviti pembinaan juga meletakkan sektor itu sebagai berpotensi mencatatkan prestasi cemerlang dalam jangka masa terdekat.
Saham wajaran tinggi CIMB mendahului saham rugi apabila ia susut 12 sen kepada RM8.25, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.41, Hong Leong Bank merosot 24 sen kepada RM20.56, dan RHB Bank turun 11 sen kepada RM6.67.
Saham Maxis, turun lima sen kepada RM3.51. Taikun perniagaan Ananda Krishnan yang memegang kepentingan dalam Maxis meninggal dunia hari ini.
KLK terus menjadi antara kaunter paling untung, melonjak 50 sen kepada RM21, diikuti Axiata yang menokok tiga sen kepada RM2.34.
Antara saham aktif, Sapura Energy naik satu sen kepada 4.0 sen, Genetec Technology menambah dua sen kepada RM1.19, Nationgate turun 17 sen kepada RM2.18, Notion Vtec turun satu sen kepada RM1.19, dan Microlink Solutions turun 1.5 sen kepada 10 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 45.74 mata kepada 12,145.23, Indeks FBMT 100 merosot 46.26 mata kepada 11,841.29, dan Indeks FBM Emas Syariah susut 24.85 mata kepada 12,087.57.
Indeks FBM 70 turun 55.71 mata kepada 17,863.20 dan Indeks FBM ACE turun 29.60 mata kepada 5,149.14.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 129.51 mata kepada 19,107.33, Indeks Tenaga merosot 2.81 mata kepada 815.88, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.09 mata kepada 170.60.
Indeks Perladangan menokok 7.66 mata kepada 7,489.20.
Jumlah dagangan Pasaran Utama kekal pada 1.70 bilion unit bernilai RM2.70 bilion berbanding nilai hari Rabu sebanyak RM2.69 bilion.
Jumlah dagangan waran susut kepada 745.57 juta unit bernilai RM74.56 juta daripada 1.06 bilion unit bernilai RM108.26 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 345.58 juta unit bernilai RM123.11 juta berbanding 427.73 juta unit bernilai RM164.19 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 201.07 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (329.22 juta), pembinaan (145.68 juta), teknologi (330.15 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (119.07 juta), hartanah (128.90 juta), perladangan (46.77 juta), REIT (5.9 juta), dana tertututp (8,100), tenaga (195.94 juta), penjagaan kesihatan (55.08 juta), telekomunikasi dan media (43.30 juta), pengangkutan dan logistik (40.58 juta), utiliti (54.35 juta) dan amanah perniagaan (191,800).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Inflasi #KDNK
;