Saham Nvidia menjunam 17 peratus, capai paras saham AS terendah 'angkara' DeepSeek

Sinar Harian
Januari 29, 2025 10:45 MYT
Saham Nvidia susut 17 peratus pada 27 Januari, menyebabkan nilai pasarannya berkurangan sebanyak AS$589 bilion (RM2.58 trilion) serta dianggap antara nilai kerugian terbesar dalam sejarah pasaran saham AS. - Foto Sinar Harian
NEW YORK: Kebimbangan pelabur terhadap impak syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) dari China, DeepSeek menyebabkan nilai saham syarikat teknologi utama Amerika Syarikat (AS), Nvidia menjunam ke paras rekod terendah.
Saham Nvidia susut 17 peratus pada 27 Januari, menyebabkan nilai pasarannya berkurangan sebanyak AS$589 bilion (RM2.58 trilion) serta dianggap antara nilai kerugian terbesar dalam sejarah pasaran saham AS.
Jumlah kerugian itu melebihi rekod yang dicatatkan pada September 2024, di mana saham Nvidia susut 9 peratus, menyebabkan nilai pasarannya berkurang sekitar AS$279 bilion (RM1.225 trilion).
Kejatuhan saham Nvidia turut memberi kesan besar kepada pasaran lain kerana syarikat itu mempengaruhi indeks utama.
Menurut Bloomberg, kejatuhan saham Nvidia telah menyumbang kepada lapan daripada 10 kejatuhan terbesar dalam sehari bagi Indeks S&P 500 berdasarkan nilai pasaran.
Pada 27 Januari, S&P 500 turun 1.5 peratus manakala Nasdaq 100 menjunam hampir 3 peratus.
DeepSeek turut memacu penjualan saham teknologi secara meluas, kerana ia dilihat mampu menawarkan teknologi setanding dengan syarikat besar AS – yang dikatakan telah melabur terlalu banyak dalam pembangunan AI – pada harga jauh lebih rendah.
Model AI terbaru DeepSeek, yang dilancarkan baru-baru ini, dianggap mampu bersaing dengan model ChatGPT milik OpenAI serta Facebook milik Meta Platforms, lapor Bloomberg.
Produk sumber terbuka yang kini berada di kedudukan teratas dalam senarai muat turun Apple App Store itu diasaskan oleh pengurus dana perlindungan, Liang Wenfeng.
“Kebimbangan timbul mengenai kemungkinan aplikasi itu mampu mengganggu model perniagaan AI semasa, yang bergantung pada cip berprestasi tinggi serta kuasa pengkomputeran dan tenaga yang besar,” kata penganalisis bank pelaburan, Jefferies kepada pelanggan mereka.
Nvidia merupakan penerima manfaat terbesar daripada peningkatan perbelanjaan syarikat ke atas pembangunan AI kerana syarikat gergasi itu mereka cip semikonduktor digunakan dalam teknologi tersebut.
Walaupun syarikat dijangka terus membuat perbelanjaan besar dalam pembangunan AI, pelabur mungkin berfikir dua kali untuk terus menyokong syarikat yang tidak menunjukkan pulangan pelaburan (ROI) mencukupi.
Pada 24 Januari, Meta mengumumkan rancangan untuk meningkatkan perbelanjaan modal bagi projek AI pada 2025 sehingga AS$65 bilion (RM258.49 bilion), yang seterusnya menaikkan sahamnya kepada rekod tertinggi.
Pengumuman itu menyusuli langkah OpenAI, SoftBank Group dan Oracle yang melancarkan usaha sama bernilai AS$100 bilion (RM439.23 bilion) yang dinamakan Stargate, untuk membina pusat data dan projek prasarana AI di seluruh AS.
Dalam usaha menyekat kemajuan China dalam bidang AI, Amerika telah melarang eksport teknologi semikonduktor canggih ke negara itu dan mengehadkan jualan cip AI Nvidia lanjutan kepada pihak lain.
Namun, kemajuan DeepSeek menunjukkan bahawa jurutera AI China telah menemui cara mengatasi sekatan itu, dengan memberi tumpuan kepada kecekapan lebih tinggi menggunakan sumber terhad.
Nvidia berkata dalam satu kenyataan bahawa model DeepSeek adalah satu 'kemajuan AI yang cemerlang' dan bukti syarikat itu mampu membangunkan teknologi tanpa melanggar sekatan AS terhadapnya. – Sinar Harian memetik agensi
#NVIDIA #saham #DeepSeek #AI
;