Saham mewah hartanah, pembinaan ketuai pasaham saham pasca pilihan raya

Bernama
Mei 11, 2013 05:49 MYT
Saham-saham mewah hartanah dan pembinaan seperti Sunway Bhd, UOA Development Bhd, Mahsing Group Bhd, Glomac Bhd, Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd, WCT Bhd dan Kimlun Corp Bhd, dijangka mengetuai aliran harga meningkat Bursa Malaysia pasca pilihan raya umum, kata penganalisis.
Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan berkata berdasarkan sentimen positif pasca pilihan raya serta peningkatan hartanah dan pembinaan, sektor ini berada pada kedudukan yang baik bagi meneruskan dasar Program Transformasi ekonomi sebelum ini.
"Petunjuk asas tempatan, FBMKLCI, dijangka mencecah paras 1800 (diketuai sektor hartanah dan pembinaan) apabila tumpuan beralih kepada penyambungan dasar-dasar pertumbuhan proekonomi susulan kemenangan kerajaan sedia ada pada 5 Mei," katanya kepada Bernama.
Nazri berkata saham-saham sektor pembinaan dan hartanah tempatan mencatatkan prestasi pasaran paling kukuh pasca pilihan raya.
"Ini kebiasaannya merupakan petunjuk baik untuk pasaran saham. Kami yakin saham-saham hartanah dan pembinaan sekurang-kurangnya mempunyai dua faktor positif untuk mengekalkan aliran meningkat pasaran secara menyeluruh -- peningkatan carta peringkat awal dan harga asas yang rendah secara relatifnya bagi yang lain dalam pasaran," katanya.
Beliau berkata indeks pembinaan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan manakala indeks hartanah merekodkan peningkatan besar sejak 2000 (paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun).
Nazri berkata peningkatan hartanah yang sensitif kepada prestasi ekonomi selain saham-saham pembinaan merupakan elemen penting dalam pasaran saham yang sihat.
Beliau berkata selepas ketinggalan sejak tiga tahun lepas, sektor hartanah dan pembinaan meningkat dengan pesat berbanding sektor-sektor lain sejak awal 2013.
"Hakikat bahawa peningkatan besar sektor hartanah dan pembinaan secara relatifnya sejak kebelakangan ini menjadikannya pilihan penggiliran terbaik pasca pilihan raya," katanya.
#Bursa Malaysia #harga #ketuai #meningkat #mewah #pilihan raya #saham