Saham MAHB naik 3.8 peratus berikutan trafik penumpang meningkat tiga kali ganda pada Dis 2020
Bernama
Januari 13, 2021 12:00 MYT
Januari 13, 2021 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pergerakan penumpang pada Disember 2020 yang positif membantu mendorong saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) naik 3.8 peratus pada 11 pagi.
Sahamnya meningkat 20 sen kepada RM5.50 dengan 741,000 saham bertukar tangan.
Pengendali lapangan terbang itu semalam mengumumkan pengenalan tujuh laluan penerbangan tempatan baharu meningkatkan pergerakan penumpang domestik sebanyak tiga kali ganda pada Disember 2020 berbanding bulan sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata lebih satu juta penumpang melakukan perjalanan dalam negara melalui rangkaian 39 lapangan terbang Malaysia Airports bulan lepas, memberikan petunjuk kepada pemulihan perjalanan udara yang menggalakkan.
"Berbanding November 2020, purata pergerakan penumpang harian pada Disember naik 50 peratus kepada 34,500, dengan pergerakan domestik harian tertinggi dicatatkan sebanyak 54,000 pada 27 Dis," katanya.
Mohd Shukrie berkata AirAsia dan Firefly membuat keputusan strategik untuk menyediakan laluan domestik baharu sebagai respons kepada permintaan pasaran COVID-19.
-- BERNAMA