Saham Intel naik berikutan laporan minat pengambilalihan oleh Qualcomm

Bernama
September 21, 2024 18:43 MYT
Harga saham Intel naik lebih tiga peratus dalam dagangan di AS. Pada satu ketika, kenaikan itu melebihi 10 peratus. -Gambar fail
SAN JOSE (California): Saham Intel meningkat pada Jumaat selepas The Wall Street Journal melaporkan bahawa Qualcomm baru-baru ini mendekati pengeluar cip Amerika Syarikat (AS) yang bermasalah itu dengan cadangan pengambilalihan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Ringkasan AI
  • Saham Intel meningkat lebih 3% selepas laporan bahawa Qualcomm mendekati Intel dengan cadangan pengambilalihan.
  • Intel sedang menghadapi kerugian besar, tidak mampu bersaing dalam pasaran telefon pintar dan cip kecerdasan buatan, serta menghadapi tekanan dalam pasaran PC.
  • Pembinaan kilang cip Intel di Magdeburg, Jerman, ditangguhkan kira-kira dua tahun, dengan kos projek berbilion dolar.

Harga saham Intel naik lebih tiga peratus dalam dagangan di AS. Pada satu ketika, kenaikan itu melebihi 10 peratus.
Intel enggan mengulas mengenai laporan The Wall Street Journal, dan tiada reaksi segera daripada pesaingnya, Qualcomm.
Intel kini bergelut dengan kerugian besar dan telah melancarkan program penjimatan kos awal tahun ini.
Bekas peneraju industri itu kini tidak memainkan peranan dalam perniagaan telefon pintar - dan Intel tidak mampu bersaing dengan pesaingnya, Nvidia, bagi cip baharu untuk aplikasi yang menggunakan kecerdasan buatan. Selain itu, Intel turut menghadapi tekanan yang semakin meningkat dalam pasaran komputer peribadi (PC).
Awal minggu ini, kumpulan itu mengumumkan bahawa pembinaan kilang cip di bandar Magdeburg, Jerman akan ditangguhkan kira-kira dua tahun, projek yang dianggarkan menelan kos berbilion dolar.
Penganalisis industri Patrick Moorhead daripada Moor Insights berkata di CNBC bahawa beliau dapat melihat bagaimana perniagaan kedua-dua syarikat itu boleh saling melengkapi dengan baik.
Terdapat sedikit pertindihan antara perniagaan dan platform teknikal Intel dan Qualcomm.
Bagaimanapun, perjanjian pengambilalihan berkemungkinan akan mencetuskan kajian menyeluruh oleh pengawal selia persaingan.
Modal pasaran Intel telah merosot lebih 50 peratus sejak akhir 2023, manakala modal pasaran Qualcomm meningkat kira-kira dua kali ganda selepas harga sahamnya meningkat sekitar satu perlima tahun ini.
Saham Qualcomm ditutup hampir tiga peratus lebih rendah selepas laporan The Wall Street Journal diterbitkan.
-- BERNAMA
#Intel #qualcomm #pengeluar cip #saham naik
;