Saham Inix Technologies digantung mulai 15 November 2021 berikutan gagal kemuka penyata kewangan tahunan
Dagang News
November 16, 2021 08:58 MYT
November 16, 2021 08:58 MYT
KUALA LUMPUR: Saham syarikat Inix Technologies Holdings Bhd digantung dagangan bermula Isnin sehingga diberitahu kelak, berikutan kegagalannya mengemukakan laporan kewangan tahunan pada Jumaat lalu.
Dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia, Inix berkata, penyata kewangan diaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 belum ditandatangani oleh juruaditnya.
“Seiring dengan Peraturan 9.28 (6) Keperluan Penyenaraian, jika syarikat tersenarai gagal menerbitkan penyata kewangan dalam tempoh enam bulan daripada tempoh tamat Kerangka Masa Berkaitan, tindakan penguatkuasaan mungkin diambil oleh Bursa Malaysia Securities, prosedur penyahsenaraian akan bermula terhadap syarikat tersenarai sedemikian,’’ kata kenyataan tersebut.
Pada 11 November lalu, Inix menarik balik laporan kewangan berakhir 30 Jun 2021 yang telah dimuat turun ke laman web bursa pada 8 November.
Dalam kenyataannya kepada bursa, Inix berkata, atas nasihat juruadit, syarikat itu menyasarkan 12 November untuk memuat turun versi muktamad penyata kewangan yang telah ditandatangani.
Inix, bagaimanapun, tidak menyatakan secara khusus nama firma audit yang mengendalikan penyata kewangannya dan bagaimana kesilapan tersebut boleh berlaku.
Dagangan saham Inix dihentikan antara pukul 10.38 pagi hingga 11.38 pagi pada Khamis lalu.
Ketika pasaran ditutup pada Jumaat lalu, harga saham Inix tidak berubah pada paras 8.5 sen sesaham, memberikan nilai pasaran syarikat kira-kira RM43.63 juta.
* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.