Saham FGV ditutup 2.3 peratus lebih tinggi susulan berita CEO sambung tugas
Bernama
Oktober 10, 2017 07:16 MYT
Oktober 10, 2017 07:16 MYT
Saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) ditutup 2.33 peratus atau empat sen lebih tinggi kepada RM1.76 di Bursa Malaysia pada Selasa, didorong laporan berita bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Datuk Zakaria Arshad akan menyambung kembali tugasnya pada 16 Okt.
Saham itu meningkat setinggi RM1.77 dalam dagangan harian, paras tertinggi sejak 19 Jun, 2017.
Sejumlah 9.54 juta saham diniagakan.
Sementara itu, dalam nota semalam, Kenanga Investment Bank (IB) Bhd berkata, laporan berita tersebut dilihat positif walaupun terdapat kesan perolehan yang minimum, memandangkan penyambungan tugas Zakaria sebagai CEO sewajarnya meredakan ketidaktentuan mengenai hala tuju FGV.
"Tiada sebarang perubahan kepada perolehan, mengulangi penilaian neutral saham dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.85 memandangkan ketidaktentuan yang lebih lemah sewajarnya meningkatkan keyakinan pelabur.
"Bagaimanapun, unjuran kekal 'neutral'," menurut Kenanga IB.
-- BERNAMA