Saham AirAsia X paling aktif

Bernama
Februari 22, 2018 03:50 MYT
Untung bersih Air Asia X yang melonjak lebih dua kali ganda kepada RM84.41 j disokong oleh pertumbuhan 12 peratus jumlah penumpang.- Gambar fail
Saham AirAsia X Bhd (AAX) meningkat dan merupakan saham paling aktif dalam dagangan awal hari ini, susulan prestasi kewangan 2017 yang kukuh.
Keuntungan bersih syarikat penerbangan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017 melonjak kepada RM98.89 juta berbanding RM44.84 juta pada 2016 manakala perolehan meningkat kepada RM4.56 bilion berbanding RM3.90 bilion sebelumnya.
Bagi suku keempat, keuntungan bersih meningkat kepada RM84.41 juta berbanding RM39.01 juta sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM1.22 bilion berbanding RM1.17 bilion.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, AAX berkata pendapatan syarikat itu disokong oleh pertumbuhan 12 peratus jumlah penumpang.
"Faktor muatan tempat duduk mencatatkan 83 peratus iaitu dua mata peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya.
Berdasarkan trend tempahan semasa, ia berkata muatan dan tambang purata adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Pada 9.47 pagi, saham AAX meningkat dua sen kepada 42.5 sen dengan 92.68 juta unit diurus niaga.
-- BERNAMA
#air asia x #keuntungan #paling aktif #prestasi kewangan #saham