Saham AirAsia naik 3.6 peratus susulan pelan kumpul modal berjalan lancar

Bernama
Oktober 23, 2020 07:51 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat berkata pinjaman itu merupakan sebahagian langkah pengumpulan modal kumpulan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Saham AirAsia Group Bhd meningkat semasa sesi dagangan pagi hari ini susulan syarikat penerbangan tambang rendah itu dilaporkan telah memperoleh pinjaman untuk menyokong pelan pengumpulan modal yang sedang dilaksanakannya.
Reuters, memetik sumber, melaporkan pinjaman bernilai RM300 juta yang dikeluarkan oleh Sabah Development Bank Bhd akan membantu syarikat penerbangan tersebut mengharungi tempoh sukar selama dua bulan, membiayai operasi tempatan.
Ini berikutan berlakunya peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19 yang akan terus menjejaskan sektor perjalanan udara bagi tempoh yang lebih lama.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat berkata pinjaman itu merupakan sebahagian langkah pengumpulan modal kumpulan.
AirAsia Bhd merupakan unit Malaysia bagi kumpulan itu.
"Kami gembira dengan kemajuan itu," katanya.
Setakat 10.57 pagi, saham AirAsia menambah dua sen atau 3.60 peratus kepada 57.5 sen dengan 9.48 juta saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
#saham AirAsia #AirAsia #sesi dagangan pagi #Bursa Malaysia #syarikat penerbangan tambang rendah #pelan pengumpulan modal