Saga, X50 jadi model Proton paling laris pada 2022

Astro Awani
Januari 4, 2023 12:42 MYT
Proton X50 terus menjadi SUV terlaris di Malaysia manakala Proton Saga terus berpegang pada kedudukannya sebagai penjual terbaik dalam rangkaian kereta Proton. - Foto Proton
KUALA LUMPUR: Jenama automotif nasional Proton mengakhiri 2022 dengan pertumbuhan jualan empat tahun berturut-turut yang melonjakkan jualan keseluruhan kepada jumlah tertinggi sejak 2013.
Syarikat menutup bukunya dengan 141,432 unit terjual, merangkumi domestik dan eksport, selepas mencatatkan 14,750 unit dalam bulan Disember, jualan bulanan yang keempat terbaik untuk tahun tersebut.
Berbanding dengan prestasi pada 2021, jumlah jualan meningkat sebanyak 23.3 peratus walaupun menghadapi kesukaran pada awal tahun apabila pembekalan alat ganti terjejas akibat banjir dan kekurangan cip secara global menyebabkan penurunan jumlah jualan untuk empat bulan pertama.
Menerusi satu kenyataan, Proton memaklumkan, jumlah jualan untuk pasaran antarabangsa pula meningkat kepada 5,406 unit, berkembang sebanyak 79.1 peratus dan membolehkan Proton mengakhiri tahun ini sebagai pengeksport utama industri.
"Secara keseluruhannya, syarikat telah mengekalkan kedudukannya di tangga kedua di dalam industri dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 19.6 peratus.
"Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) untuk 2022 dianggarkan melebihi 720,000 unit, satu catatan industri baharu yang tinggi, di samping jualan Disember yang memecahkan rekod.
"Jualan untuk lima daripada enam model Proton meningkat pada 2022 dengan tiga model mengakhiri tahun itu sebagai peneraju segmen," memetik kenyataan itu.
Proton X50 terus menjadi SUV terlaris di Malaysia dengan jualan 3,764 unit di bulan Disember. Ia mengakhiri 2022 dengan rekod jualan tahunan SUV baharu sebanyak 40,681 unit.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 41.4 peratus berbanding 2021 dan menjadikan SUV segmen B ini model kedua paling laris antara barisan model syarikat tersebut.
Sementara itu, Proton Saga terus berpegang pada kedudukannya sebagai penjual terbaik dalam rangkaian kereta Proton apabila 5,913 unit dijual pada Disember, yang meningkatkan jumlah volum bagi 2022 ke 55,878 unit - peningkatan 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya dan meraih kedudukan kedua dalam kedudukan jualan sedan segmen A.
Menurut Proton, kejayaan ini tercapai walaupun Saga merupakan model yang paling terjejas akibat banjir pada 2021, yang menyaksikan jualannya berkurangan dengan hanya 76 unit terjual pada Januari.
“Melihat ke hadapan di tahun 2023, Proton yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan dengan penambahan rangkaian tawaran serta pelancaran model baharu kami pada tahun ini.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan TIV akan menyusut daripada jumlah rekod 2022 kerana penghantaran pesanan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan dipenuhi pada akhir bulan Mac.
"Kadar faedah juga dijangka meningkat lagi pada tahun ini, menjadikan sukar bagi industri automotif untuk terus meningkatkan jualan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.
Selain itu, jualan eksport Proton terus berkembang tahun lepas sebanyak 79.1 peratus dengan angka penutupan sebanyak 5,406 unit.
Pertumbuhan itu dikukuhkan oleh peningkatan yang konsisten dalam industri perkapalan serta pertumbuhan dalam pasaran utama seperti Pakistan dan penambahan Afrika Selatan ke dalam senarai pasaran eksport.
#Proton #jualan kereta Proton 2022 #X50 #Saga
;