Sabah catat imbangan perdagangan RM13 bilion bagi Jan-Ogos 2023
Bernama
November 24, 2023 23:10 MYT
November 24, 2023 23:10 MYT
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan imbangan perdagangan berjumlah RM13 bilion bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding RM24 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.
Penguncupan sebanyak 45.8 peratus itu disebabkan oleh penurunan jumlah nilai eksport bagi komoditi utama negeri itu, khususnya petroleum mentah dan minyak sawit mentah (MSM).
Jelas beliau, penyusutan nilai eksport petroleum mentah disebabkan oleh penurunan kuantiti eksport sebanyak 7.8 peratus serta harga pasaran dengan harga puratanya dalam tempoh tersebut susut 24.5 peratus iaitu US$80.59 setong (US$1= RM4.68) berbanding US$06.74 setong pada 2022.
"Kejatuhan nilai eksport MSM pula disebabkan oleh penurunan harga pasaran iaitu harga puratanya RM3,873.63 satu tan metrik berbanding RM5,628.13 satu tan metrik dalam tempoh sama 2022, penurunan 31.18 peratus.
"Penurunan harga ini menyumbang kepada penyusutan nilai eksport sebanyak 27.9 peratus manakala jumlah import meningkat 3.4 peratus kepada RM27.3 bilion daripada RM26.4 bilion dalam tempoh sama 2022," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Masidi berkata peningkatan import disumbangkan oleh kenaikan nilai import barangan utama negeri seperti jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan serta bahan api, galian dan pelincir.
Beliau juga kekal optimis terhadap keupayaan Sabah mengekalkan momentum pertumbuhan positif bagi 2023 melalui penggunaan domestik yang kukuh, peningkatan pelaburan awam dan swasta serta pemulihan berterusan sektor ekonomi utama.
Faktor pendorong lain adalah pengukuhan pasaran tenaga kerja menerusi aliran penurunan kadar pengangguran iaitu 7.5 peratus pada suku kedua 2023 berbanding 8.6 peratus pada tempoh sama 2022.
Pada masa sama, beliau yakin pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi mempergiat dan mempercepat pemulihan ekonomi serta memacu pertumbuhan positif pada kadar 4.0 peratus tahun depan.
"Setakat September lepas, inflasi Sabah adalah 1.8 peratus, rendah sedikit berbanding kadar inflasi nasional 1.9 peratus. Kerajaan negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengawal kenaikan harga barang dan menstabilkan kadar inflasi bagi mengurangkan lagi bebanan serta tekanan kos sara hidup rakyat," katanya.
Mengulas pelaburan, Masidi berkata kepesatan pertumbuhan sektor perindustrian di negeri itu menarik pelaburan baharu dan menjadikan Sabah sebagai negeri kelima tertinggi menerima pelaburan asing dan domestik dengan nilai RM9 bilion di sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan setakat pertengahan 2023.
Ini termasuk pelaburan SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing dari China yang berjumlah RM6.76 bilion.
Pembinaan kilang kerajang tembaga SK Nexilis di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) misalnya telah mencapai 96.8 peratus dengan eksport pertama seberat 102 tan ke Amerika Syarikat pada 23 Oktober lepas, katanya.
Usaha itu melibatkan 2,295 pekerja atau 56 peratus warga Sabah di peringkat pembinaan kilang manakala 275 pekerja atau 91 peratus anak jati negeri itu di peringkat pengoperasian.
Menurut Masidi, pembinaan kilang pembuatan kaca solar Kumpulan Kibing di KKIP mencapai 72 peratus dan dijangka siap pada suku pertama 2024 manakala pembinaan kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati, Kudat, mencecah 85 peratus yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2023.
"Bilangan anak Sabah bekerja di kilang pembuatan kaca solar di KKIP adalah seramai 1,100 orang manakala 164 orang lagi bekerja di kilang pemprosesan pasir silika di Sikuati," katanya.
-- BERNAMA