Saarani bentang Belanjawan Perak seminggu selepas dilantik
Aida Aziz
Disember 16, 2020 15:29 MYT
Disember 16, 2020 15:29 MYT
IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad hari ini membentangkan Belanjawan 2021 negeri Perak di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 selepas genap tujuh hari dilantik ke jawatan itu.
Saarani ketika membacakan Belanjawan itu berkata, beliau dan barisan Exco kerajaan negeri yang bermesyuarat pada Isnin telah sebulat suara bersetuju mengguna pakai cadangan Belanjawan yang disediakan oleh kerajaan terdahulu.
"Hari ini genap tujuh hari perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar. Dalam tempoh yang singkat itu, amat terbatas waktu untuk saya menyediakan Belanjawan 2021 yang baharu.
"Berasaskan kepada keterlibatan saya secara langsung dalam proses penyediaan cadangan peruntukan kewangan bagi tahun 2021, maka adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Menteri Besar yang baharu untuk merangka semula ucapan Belanjawan ini," katanya.
Ujarnya, kerajaan negeri telah mengunjurkan Belanjawan defisit sebanyak RM103.2 juta bagi tahun 2020 pada pembentangan Belanjawan yang lepas.
"Bagaimanapun, berdasarkan kepada situasi semasa berakhir 30 November 2020, kedudukan kewangan adalah defisit RM86.4 juta, iaitu turun 16.3 peratus atau RM16.8 juta berbanding unjuran asal.
"Sehingga 31 Disember 2020, defisit ini dijangka dapat diturunkan sekurang-kurangnya kepada RM40 juta," katanya.
Katanya, "Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif" kekal menjadi tema Belanjawan tahun 2021.
Jelasnya, pemilihan meneruskan tema yang sama adalah bagi menunjukkan fokus kerajaan negeri dalam meneruskan kesinambungan perancangan pembangunan yang telah dilaksanakan pada tahun ini.
Pada Khamis, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Sultan Nazrin memberikan perkenan perkara itu selaras dengan Fasal (1) Perkara XII dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara XVI, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
#Belanjawan 2021
#Saarani Mohamad
#DUN Perak
#Menteri Besar Perak
#Perak Negeri Berdaya Tahan Mampan dan Inklusif
#ADUN Kota Tampan
#Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
#ekonomi
#undang-undang