S P Setia Berhad adakan Rumah Terbuka Raya 2024, kekal tradisi bertemakan batik
Amzar Alif
April 23, 2024 18:43 MYT
April 23, 2024 18:43 MYT
SHAH ALAM: Pemaju hartanah terkemuka tempatan S P Setia Berhad menganjurkan sambutan rumah terbuka menerusi tema 'Sentuhan Syawal, Setia Bersama' dalam usaha meraikan perpaduan komuniti Setia.
Menariknya, sambutan itu juga bersempena ulang tahun ke-50 pihaknya dengan hasrat mewujudkan komuniti transformatif di samping memelihara tradisi budaya agar tidak luput dek zaman.
Menurut Ketua Pegawai Komersial S P Setia Berhad, Christinne Lim, majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung tersebut turut mengangkat tradisi batik dengan slogan ‘Raya Batik, Raya Cantik’.
“Jadi Raya 2024, S P Setia telah memilih batik sebagai tema kerana kami rasa elemen warna-warni batik yang telah melalui perubahan dari tradisional ke ekspresi moden amat mencerminkan kekayaan budaya Malaysia serta warisan negara.
“Ia juga adalah cara kami untuk meraikan komuniti sambil menyemai semangat kebersamaan Setia,” katanya pada majlis rumah terbuka 2024 anjuran S P Setia Berhad yang berlangsung di Oval Lawn, Setia City Park, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.
Antara tumpuan utama ialah peragaan busana batik dipersembahkan secara fizikal dan digital dengan julukan ‘phygital’.
Peragaan busana itu menampilkan hasil karya pereka batik kontemporari, Batik Tektura, John Ang dan Hani Nazeera yang diperagakan oleh pempegaruh tempatan dan Team Setia.
Penampilan istimewa daripada penyampai radio terkenal Nabil Ahmad, Haniff Hamzah dan Ray sebagai hos serta persembahan memukau daripada Tomok dan Amy Mastura jelas menghangatkan lagi kemeriahan bahang rumah terbuka tersebut.
Turut mencuri tumpuan, pasar artisan batik yang menawarkan produk hasil buatan tangan jenama tempatan, bengkel batik, persembahan dari kumpulan Harmonik Perdana dan flash mob daripada kaki tangan S P Setia.
Sementara itu, Christinne berkata pihaknya kekal komited membangunkan lebih banyak taman rekreasi, pejabat, dan pusat membeli-belah bagi menyepadukan komuniti setempat.
“Kami akan meneruskan perjalanan ini dalam mewujudkan komuniti mampan dan pembangunan inovatif yang bukan sahaja dalam negara malah antabangsa seperti di Australia, Vietnam, UK, Singapura, Jepun dan China,” ujarnya.
S P Setia Berhad dengan pengalaman sejak tahun 1974 dalam industri pembangunan hartanah terus cemerlang dalam mengekalkan rekod sebagai satu-satunya penerima anugerah terbanyak di FIABCI World Prix d’Exellence Awards tahun lalu.
“Selepas 50 tahun dalam perniagaan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dan penyokong kami yang kami gelar sebagai Citizen Setia untuk sokongan yang amat kukuh,” tambahnya.
#S P Setia Berhad
#Raya Batik Raya Cantik
#Sentuhan Syawal Setia Bersama
#Ketua Pegawai Komersial S P Setia Berhad
#Christinne Lim