Rusia anjur pameran halal terbesar sempena KazanForum 2024 pada Mei

Bernama
Mac 29, 2024 19:11 MYT
Sekretariat KazanForum berkata pameran dan forum itu akan menghimpunkan wakil dari semua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
KUALA LUMPUR: Rusia akan menganjurkan Pameran Perdagangan Antarabangsa Pasaran Halal, platform perdagangan terbesar bagi masyarakat Islam dunia, sebahagian daripada Forum Ekonomi Antarabangsa tahunan "Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2024" pada 14 hingga 19 Mei.
Sekretariat KazanForum dalam kenyataan berkata pameran dan forum itu akan menghimpunkan wakil dari semua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Pada 2023, pengunjung berpeluang melihat produk dari Iran, Afghanistan, Senegal dan Turkiye. Dijangkakan pada tahun ini syarikat dari Indonesia dan Malaysia telah menunjukkan minat tambahan dalam pameran itu dan akan memasuki pasaran halal Rusia yang semakin berkembang," menurut kenyataan tersebut.
Sekretariat itu berkata pada 2024, Pameran Perdagangan Antarabangsa Pasar Halal Kazan akan diadakan dari 14 hingga 19 Mei di Taman Agro-Industri Kazan.
Peserta berpeluang mempamerkan produk mereka di kawasan perdagangan seluas 5,000 meter persegi. Yuran penyertaan adalah US$210 untuk tempat perdagangan yang lengkap dengan pameran. Produk pengkhususan untuk pameran itu ialah makanan, perdagangan borong dan runcit serta barangan pengguna.
Di Pasar Halal Kazan, pengunjung boleh mendapatkan pakaian, aksesori, kosmetik dan barangan pengguna lain dengan pensijilan halal daripada syarikat pengeluar terkemuka dunia Islam.
Menurut kenyataan itu, pada 2023, seramai 400 pempamer mengambil bahagian di Pasar Halal Kazan yang menawarkan 4,500 produk. Pameran itu menjadi tempat tarikan bagi para pencinta halal dan platform yang mudah untuk membeli-belah keluarga.
Pameran itu dikunjungi lebih 40,000 tetamu, termasuk delegasi rasmi dari Malaysia, Pakistan, Uzbekistan, Maghribi, Bahrain, Chad, Senegal, Iran, Turki, Gabon; wakil media asing; diplomat muda negara-negara OIC; timbalan Duma Negeri Rusia dan ahli-ahli kerajaan serantau di Rusia.
Setiausaha Agung OIC, Tun Hussein Ibrahim Taha dalam ucapannya kepada peserta KazanForum 2023 menekankan pertumbuhan ketara dalam perolehan perdagangan antara Rusia dan negara-negara OIC dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2021, ia berjumlah US$113.3 bilion, peningkatan 43.2 peratus berbanding 2017. Hussein menekankan kemunculan peluang baharu yang dipermudahkan oleh pasaran halal dan bekalan bersama produk yang mematuhi norma-norma Islam.
Hussein juga berkata pasaran halal global berkembang sangat pesat dan kini dianggarkan bernilai US$2.6 trilion. Beliau juga berharap usaha KazanForum akan menyumbang kepada pembangunan industri halal dan perdagangan di Rusia.
Hussein mengunjurkan menjelang 2028, pasaran halal dijangka melebihi nilai US$11 trilion, menonjolkan potensi besar untuk pertumbuhan dan pembangunan.
-- BERNAMA
#Rusia #pameran perdagangan #Halal #KazanForum 2024 #oic #forum ekonomi
;