RTS mampu kurangkan sehingga 35 peratus kesesakan di Tambak Johor - MRT Corp
Astro Awani
Mei 18, 2022 14:45 MYT
Mei 18, 2022 14:45 MYT
JOHOR BAHRU: Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura, dijangka dapat mengurangkan sehingga 35 peratus penggunaan Tambak Johor sekali gus mengurangkan kesesakan di laluan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, penggunaan Tambak Johor kini mencecah 350,000 pengguna sehari.
Justeru projek RTS yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2027 itu dapat menarik hampir 122,500 pengguna daripada jumlah menggunakan kemudahan terbabit kelak.
Katanya, tempoh perjalanan juga dapat dipendekkan kepada 15 minit termasuk urusan imigresen berbanding 30 minit hingga satu jam pada ketika ini.
“Kapasiti RTS ini adalah seramai 10,000 penumpang sejam untuk laluan sehala. Dengan kapasiti ini kita berupaya untuk mencapai sekurang-kurangnya 35 peratus daripada jumlah pengguna (Tambak Johor), kita mampu menarik lebih 35 peratus pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan Wharton School, University of Pennsylvania ke projek RTS di Skyscape, menara JLand, di sini hari ini.
Menurut, Mohd Zarif lagi perjalanan projek RTS terbabik kini berjalan dengan baik dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Pembinaan projek itu kini sudah mencecah 15 peratus membabitkan pembinaan struktur rel.
RTS akan menjadi Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama yang dibangunkan di Johor sekali gus bakal mengubah landskap pengangkutan bandar raya Johor Bahru.