RSPO minta Sime Darby Plantation laksana pelan tindakan atasi kelemahan
Bernama
November 18, 2022 06:16 MYT
November 18, 2022 06:16 MYT
KUALA LUMPUR: Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) meminta Sime Darby Plantation Bhd (SDP) untuk melengkapkan pelan tindakan dalam tempoh enam bulan akan datang bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti dalam sistem dan proses sedia ada milik syarikat itu.
Organisasi minyak sawit lestari itu berkata, sekretariatnya mengarahkan SDP untuk melakukan perkara tersebut pada 14 Nov selepas selesainya penilaian pengesahan bebas terhadap operasi ladang di Malaysia.
RSPO telah menjalankan penilaian berikutan perintah pelepasan penahanan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat ke atas semua minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit yang dikeluarkan oleh SDP pada 30 Dis, 2020.
Ia berkata pasukan penilai mengenal pasti pelanggaran Standard RSPO, termasuk pembayaran yuran pengambilan yang tidak dilaporkan kepada ejen, sub ejen atau pihak ketiga yang lain, dan menahan pasport.
"Selain itu, pasukan penilai mengenal pasti beberapa bidang yang mana sistem dan proses SDP perlu diperkukuhkan lagi," katanya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman webnya.
RSPO menyatakan bahawa SDP telah mengambil tindakan untuk menangani isu yang dilaporkan walaupun keputusan akhir masih lagi belum jelas.
"Bahagian Pematuhan Sekretariat RSPO akan memantau pelaksanaan aktiviti (pelan tindakan) selama enam bulan, dari Disember 2022 hingga Mei 2023," tambahnya.
BANYAK TINDAKAN PEMULIHAN YANG DILAKUKAN
Sebagai tindak balas kepada penemuan RSPO, SDP mengatakan yang ia telah mengambil banyak langkah bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan hak pekerjanya diiktiraf oleh RSPO.
"Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada program penambahbaikan berterusan (CIP) yang kami sediakan, dan ini merupakan bahagian penting dan kukuh dalam operasi kami," katanya dalam satu kenyataan semalam.
SDP menyatakan bahawa ia membangunkan dan melaksanakan langkah-langkah yang benar-benar baharu kepada industri dan berharap akan diterima pakai oleh pemain industri lain, serta dipertimbangkan dan digabungkan oleh RSPO dalam prinsip dan kriterianya.
Antara tindakan bagi membetulkan keadaan ialah pembayaran balik kepada semua pekerja semasa yang sebelum ini pernah membayar pada ejen atau sub ejen untuk mendapatkan pekerjaan dengan syarikat dan mempertingkatkan Prosedur Pengambilan Pekerja Bertanggungjawab untuk memastikan syarikat berusaha sedaya upaya menghapuskan ikatan hutang pekerja, katanya.
"Selain itu, semua pekerja diberikan lokar peribadi yang berkunci di mana mereka boleh menyimpan dokumen seperti pasport dengan selamat, serta menambah baik sistem aduan untuk memastikan rungutan pekerja SDP didengari dan diambil tindakan oleh syarikat," tambahnya.
Ketua Pegawai Kemampanan SDP, Rashyid Redza Anwarudin berkata kumpulan itu yakin dapat mengurangkan risiko buruh paksa dalam operasinya dengan semua langkah yang telah disediakan itu.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan RSPO dan rakan kongsi rantaian bekalan kami untuk berkongsi pengajaran yang diperoleh dengan industri," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif RSPO Joseph D'Cruz berkata pihaknya mengalu-alukan langkah proaktif yang diambil oleh SDP untuk mengenal pasti dan menangani kelemahan dalam sistem dan proses mereka.
"Bagaimanapun, adalah penting bagi RSPO sebagai rakan kongsi global untuk menilai sebarang kelemahan atau kegagalan yang berlaku bagi memastikan kita belajar secara kolektif daripada peristiwa tersebut," katanya.
-- BERNAMA