RoyalJet LLC kembang perniagaan ke Malaysia, potensi peroleh perniagaan Aero Sapura Resources
Astro Awani
Julai 11, 2023 08:00 MYT
Julai 11, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan berpangkalan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), RoyalJet LLC dan Sapura Resources Berhad (SRB) menandatangani Perjanjian Induk bersyarat (Heads of Agreement, HOA) bersyarat untuk potensi pemerolehan perniagaan penerbangan SRB di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) pada 23 Jun lalu.
Melalui perjanjian itu, ia bakal menjadikan Royaljet antara peserta industri penerbangan persendirian di Asia Tenggara dengan hab serantau utamanya di LTSAAS.
Selain itu, LTSAAS bakal menjadi hab serantau Royalket untuk segmen perniagaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RoyalJet, Mohammed Husain Ahmed kerjasama dengan SRB dilihat sebagai sebagai asas kukuh untuk membina kehadiran lebih kukuh di rantau ini.
“Kami berminat untuk mengembangkan perniagaan kami di Asia. Perbincangan berterusan dengan perniagaan penerbangan Sapura Resources Berhad menawarkan peluang yang cerah.” katanya
Sementara itu, Pengarah Urusan Sapura Resources Berhad, Datuk Shahriman Shamsuddin berkata, usaha sama itu juga membuka pintu sinergi rentas kerjasama sempadan antara Malaysia dan Abu Dhabi.
“Kami akan memberikan sokongan penuh kepada kerjasama dua negara dan kami menantikan perbincangan lanjut bersama Royaljet,” katanya.
Selain itu, kedua-dua syarikat itu juga percaya cadangan pengambilalihan cabang penerbangan SRB oleh Royaljet adalah selari dengan rancangan semasa untuk meremajakan semula industri penerbangan persendirian, yang sekali gus memberikan manfaat pembangunan ekonomi kepada negeri Selangor khususnya.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, potensi kerjasama antara Royaljet dan SRB akan melengkapkan usaha untuk menghidupkan semula LTSAAS.
“Fokus kami adalah meletakkan LTSAAS sebagai lapangan terbang premium dan bertaraf serantau selain membagunkan sektor perniagaan penerbangan secara keseluruhan.
“Justeru kehadiran Royalket di LTSAAS akan memberikan momentum untuk menarik kehadiran peserta penerbangan antarabangsa lain,” kata beliau lagi.