'Royal Floria Putrajaya' luaskan sektor hortikultur negara
Nurulhana Ismail
Februari 3, 2016 18:04 MYT
Februari 3, 2016 18:04 MYT
Festival Royal Floria Putrajaya yang akan diadakan Mei tahun ini akan meluaskan lagi pasaran hortikultur negara ke mata dunia.
Menurut Pengarah Urusan Putrajaya Floria Sdn Bhd, Haslinda Khalid, ketika ini nilai eksport produk dari segmen berkenaan adalah RM300 juta setahun dan angka itu dijangka meningkat tahun ini.
Haslinda berkata pada tahun lalu, jualan daripada bazar sahaja mencatatkan nilai sekitar RM700 ribu ke RM800 ribu manakala tahun ini sasaran jualan adalah sebanyak RM1 juta.
"Kita memang menggalakkan peserta industri seperti penanam dan pengusaha hortikultur untuk turut serta dalam festival ini. Disini mereka dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka serta membantu meningkatkan lagi industri ini di Malaysia," tambah beliau pada sidang media Royal Floria Putrajaya di Putrajaya pada Rabu.
Haslinda turut menyuarakan keyakinan nilai pelaburan serta jualan daripada festival ini akan bertambah berdasarkan pertambahan pengunjung yang dijangka mencecah 1 juta orang tahun ini berbanding 750 ribu tahun lalu.
Festival Floria Putrajaya yang akan membuka tirai mulai 27 Mei hingga 4 Jun ini kini telah pun mencapai 30 peratus dari segi persiapan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei 2016.
Ia juga merupakan antara festival bunga dan taman terbesar di rantau Asia serta setanding dengan festival bunga antarabangsa lain seperti Pertunjukan Bunga Royal Chelsea di Britain dan Pertunjukan Bunga Melbourne di Australia.