RON 100 pertama di Malaysia "Blaze 100 Euro 4M" dilancarkan
Malik Ridhwan
Januari 15, 2016 14:38 MYT
Januari 15, 2016 14:38 MYT
Petron menerajui teknologi bahan api dan inovasi dengan pelancaran Blaze 100 Euro 4M - satu-satunya minyak premium RON 100 (Nombor Oktana Penyelidikan) di pasaran Malaysia.
Dengan RON paling tinggi ini, Blaze 100 Euro 4M mempunyai ketahanan luar biasa dan membolehkan para pengguna menguasai pemanduan jalan raya dengan lebih mudah.
Menurut Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron Faridah Ali, bahan api inovatif ini dapat memastikan prestasi enjin yang optimum dan mencapai jarak perjalanan lebih jauh.
Dari kiri: Ahmad Bashah, Zainuddin dan Faridah ketika pelancaran Blaze 100 Euro 4M di stesen minyak Petron Batu 3 Lebuhraya Persekutuan. - Gambar Astro AWANI / Malik Ridhwan
"Blaze 100 Euro 4M dirumuskan dengan Tri-Activ, sebuah formula yang mempunyai tiga aksi yang memberikan kuasa, perlindungan enjin dan kilometer yang lebih baik.
"Bahan api berprestasi tinggi ini juga menawarkan tindak balas enjin yang sangat baik serta kuasa dan pecutan yang optimum," kata Faridah di pelancaran Blaze 100 Euro 4M di stesen minyak Petron Batu 3 di sini pada Jumaat.
Petron Blaze 100 Euro 4M turut menawarkan pembersihan enjin yang luar biasa untuk mengekalkan kecekapan enjin dan penjimatan bahan api yang lebih baik.
Bahan api yang dihasilkan di kilang penapisan Petron Port Dickson ini memenuhi spesifikasi Euro 4M dapat mengurangkan pengeluaran asap justeru meningkatkan kualiti udara.
Turut hadir di pelancarannya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Timbalannya Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Zainuddin berkata dengan adanya bahan api berspesifikasi Euro 4M ini, ia sekaligus dapat membantu mencapai hasrat kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon.
"Salah satu kesan daripada perkenalan bahan api ini, kita dapat kurangkan masalah pencemaran yang berlaku di Malaysia," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran.
Buat masa ini, Blaze 100 Euro 4M boleh didapati di lapan stesen minyak Petron di Lembah Klang dan Johor dan akan diperluaskan ke stesen-stesen lain mengikut permintaan.
Harga pasaran bagi bulan Januari ditetapkan pada RM2.80 seliter.
Lokasi stesen minyak Petron dengan Blaze 100 Euro 4M
1. Petron Batu 3 Lebuhraya Persekutuan
2. Petron Taman Tun Dr Ismail
3. Petron Damansara Kayu Ara
4. Petron Kesas (arah barat)
5. Petron Jalan Maarof Bangsar
6. Petron Plaza Tol Sg. Besi (arah selatan)
7. Petron Plaza Tol Skudai (arah utara)
8. Petron Linkedua (arah selatan)