RMK12: Tingkat pendapatan, akses kepada perkhidmatan jadi pendekatan tangani kemiskinan

Bernama
September 11, 2023 14:00 MYT
Program pembasmian kemiskinan akan diperkukuh melalui pendekatan keseluruhan negara melibatkan sektor awam dan swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan berasaskan komuniti dan komuniti setempat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Meningkatkan pendapatan golongan miskin serta menambah baik taraf hidup dan akses kepada perkhidmatan penting menjadi dua strategi utama kerajaan dalam menangani dan mencegah kemiskinan di negara ini.
Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dimulakan pada 2023, akan dipergiat bagi melengkapi program dan inisiatif pembasmian kemiskinan sedia ada.
"Program ini akan membolehkan golongan miskin mempelbagaikan sumber pendapatan secara mampan, seterusnya melindungi golongan ini daripada jatuh semula ke perangkap kemiskinan.
"Skim insurans atau takaful mampu bayar akan diperkenalkan bagi melindungi pendapatan isi rumah miskin. Tumpuan yang lebih besar akan diberi kepada daerah yang mempunyai insiden kemiskinan tertinggi," menurut laporan itu.
Laporan berkenaan turut menyatakan usaha untuk program pembasmian kemiskinan akan diperkukuh melalui pendekatan keseluruhan negara melibatkan sektor awam dan swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil, pertubuhan berasaskan komuniti dan komuniti setempat.
Kajian Separuh Penggal RMK12 itu juga memaklumkan usaha akan dilakukan bagi meningkatkan akses golongan miskin kepada pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti, menambah baik outcome kesihatan, keadaan tempat tinggal dan kemudahan asas.
"Asuhan dan didikan awal kanak-kanak bersubsidi akan diperluas, bantuan pembelajaran digital, intervensi bersasar seperti tuisyen, biasiswa dan bantuan tunai akan diteruskan untuk mengurangkan keciciran dalam kalangan pelajar daripada isi rumah miskin.
"Sementara TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) akan digalakkan melalui pemadanan pekerjaan dengan kerjasama sektor swasta.
"Skim Perubatan MADANI akan dilaksana selain Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan akan terus dipertingkat manakala utiliti asas dan perkhidmatan komunikasi seperti air bersih, elektrik dan ketersambungan jalur lebar akan dipertingkat terutama di kawasan pedalaman," menurut laporan kajian.
Selain itu, kajian berkenaan memaklumkan usaha bersepadu akan dipergiat untuk meningkatkan kesejahteraan M40 dengan tumpuan mempertingkatkan penjanaan pendapatan serta menambah baik perlindungan kesihatan dan pekerjaan, selain akses kepada perumahan.
Dalam pada itu, kajian juga memberi penekanan kepada usaha menangani ketidaksamarataan melalui dua fokus iaitu menambah baik akses kepada pelbagai peluang dan memperkukuh perlindungan sosial.
"Infrastruktur asas seperti elektrik, air dan telekomunikasi akan dipastikan lebih mudah diakses merentasi kumpulan sosioekonomi dan lokasi geografi. Pendidikan dan kemahiran akan ditambah baik untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan. Penjagaan kesihatan yang mampu bayar dan berkualiti akan digalakkan melalui pendekatan kitaran hayat.
"Selain itu (termasuk) menerima pakai dasar ekonomi inklusif, menambah baik langkah fiskal dan menggalakkan keterangkuman kewangan selain merangka dasar berkaitan perlindungan sosial serta Memperkukuh Majlis Perlindungan Sosial Malaysia," menurut laporan itu.
-- BERNAMA
#RMK12 #basmi kemiskinan #tingkat pendapatan #Kerajaan Perpaduan
;