RMK12: Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan hujung tahun ini - PM Anwar

Ridauddin Daud
September 11, 2023 14:58 MYT
Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan pada akhir tahun ini bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana tsunami, banjir dan tanah runtuh. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan pada akhir tahun ini bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana tsunami, banjir dan tanah runtuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan bencana banjir dan tanah runtuh yang sering kali berlaku.
Tegas beliau, kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap usaha-usaha untuk melindungi rakyat.
“Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan pada akhir tahun ini. Penubuhan pusat ini juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan tindak balas bencana demi memastikan keselamatan rakyat.
“Manakala, Dasar Pengurusan Bencana Negara bawah kawal selia Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan disemak semula untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan meningkatkan keupayaan dalam menguruskan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan, akta berkaitan pencemaran sumber air dan industri perkhidmatan air juga akan dikaji semula.
Ia bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tegasnya, tindakan tidak bertanggungjawab sebahagian pihak yang melepaskan sisa tercemar ke dalam sungai telah menggugat kemampanan dan menjejaskan rantaian makanan serta mengancam kesihatan penduduk sekitar.
“Usaha pembersihatan dan pemulihan air akan mengambil masa dan menelan kos yang tinggi.
“Justeru, akta berkaitan pencemaran sumber air dan juga industri perkhidmatan air akan dikaji semula agar hukuman yang setimpal terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Usaha ini bagi menjamin kemampanan sumber dan perkhidmatan air bersih untuk kegunaan rakyat,” katanya.
Anwar berkata, dalam RMK12, kerajaan juga memberi komitmen untuk membiayai projek tebatan banjir dengan kos mencecah hampir RM22 bilion.
Selain itu katanya, usaha khusus bagi melindungi spesies Harimau Malaya yang kini kian terancam akan dipertingkatkan.
#Anwar Ibrahim #banjir #tanah runtuh #sistem amaran awal #NADMA
;