RMK12: Projek yang lama lulus tetapi belum mula, akan dibatalkan - PM Anwar
Bernama
September 11, 2023 14:37 MYT
September 11, 2023 14:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membatalkan projek-projek yang telah lama diluluskan termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu tetapi belum dapat dimulakan dalam tempoh masa yang munasabah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini, berkata ia bertujuan bagi memberikan laluan kepada projek-projek rakyat yang lebih mendesak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan satu Jawatankuasa Khas Pemantauan KSP RMK12 akan ditubuhkan dalam memastikan setiap anggota Kabinet memantau pelaksanaan projek RMK12 agar rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa berlengah.
"Pelan bagi pemantauan pelaksanaan kebijakan KSP RMK12 disediakan sebagai panduan bagi setiap kementerian dan agensi untuk melaksanakan semua kebijakan ini. Sebahagian daripada sasaran KSP RMK12 juga akan dijadikan KPI kementerian," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua anggota dalam kerajaan, termasuk anggota pentadbiran dan ketua jabatan agar sama-sama melaksanakan tanggungjawab dengan jujur serta amanah bagi memastikan peristiwa salah laku dan teguran audit yang telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang.
Anwar juga menegaskan Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan semua strategi dan inisiatif yang direncanakan dalam KSP RMK12 secara teratur, bersistematik dan bertanggungjawab.
Katanya Kerajaan Perpaduan akan berfungsi sebagai sebuah kerajaan cekap dan tangkas bekerja untuk memenuhi harapan rakyat, yang menepati ciri-ciri al-Qawiy al-Amin (berdaya saing dan berintegriti) dan Hafizun Alim (pelindung yang beramanah dan berilmu).
"Insya-Allah kita akan terus mengambil pendekatan aktif mendengar (perkara) yang melibatkan rakyat, menerima teguran supaya pelaksanaan RMK12 dapat dijalankan dengan memuaskan dan membantu kita dalam merangka RMK13," katanya.
KSP RMK12 yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera, Berpendapatan Tinggi' merangkumi 17 anjakan besar sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama bagi memacu dan melonjak pembangunan negara dengan mengangkat darjat serta memperkasa rakyat.
-- BERNAMA