RMK12: Peraturan hadkan pembelian hanya satu rumah mampu milik akan dikuatkuasakan
Bernama
September 11, 2023 13:27 MYT
September 11, 2023 13:27 MYT
KUALA LUMPUR: Peraturan untuk mengehadkan pembelian hanya satu rumah mampu milik bagi setiap warganegara yang layak akan dikuatkuasakan dalam usaha memastikan bekalan rumah mampu milik yang mencukupi.
Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, dalam hubungan itu pangkalan data perumahan akan dibangunkan bagi membolehkan saringan silang maklumat pemilikan dengan agensi berkaitan yang lebih tepat dibuat untuk menentukan kelayakan pemilikan.
Laporan itu memaklumkan sistem maklumat inventori tanah yang mengintegrasikan semua maklumat tanah wakaf akan diwujudkan bagi mengenal pasti tanah yang bersesuaian untuk pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.
"Di samping itu, kerjasama majlis agama negeri dan agensi berkaitan akan mempercepat pembangunan rumah mampu milik di atas tanah wakaf," demikian menurut laporan itu.
Laporan turut memaklumkan peraturan berkaitan dasar pemisah untuk perumahan awam akan dikuatkuasakan dengan menyediakan garis panduan dan prosedur untuk penyewa yang melebihi kelayakan berpindah ke perumahan pilihan yang bersesuaian.
Menurut laporan itu, tempoh moratorium 10 tahun ke atas penjualan semula rumah akan diperluas kepada semua perumahan awam.
Selain itu, kajian menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti strategi dan inisiatif untuk mengawal bekalan rumah mampu milik melalui pasaran sekunder, demikian menurut laporan itu.
Menurut laporan itu, pembangunan pelan tindakan perumahan negara bagi mengenal pasti keperluan sebenar perumahan akan memudah cara penyediaan rumah yang bersesuaian.
Laporan turut memaklumkan program perumahan yang dilaksanakan kerajaan akan berpandukan konsep tempat tinggal sebagai keperluan asas dan hak asasi manusia berbanding konsep pemilikan.
Peralihan ini adalah untuk menyokong Anjakan Besar Perumahan untuk Rakyat dan dalam hubungan ini, sektor awam dan swasta akan memainkan peranan penting melalui penglibatan secara aktif untuk menyediakan perumahan yang selamat, terjamin dan mampu bayar, demikian menurut laporan itu.
-- BERNAMA