RMK12: Kerajaan laksana kajian impak dua dasar perkongsian data

Bernama
September 11, 2023 13:15 MYT
Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus pada peringkat persekutuan dan negeri dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dan penciptaan nilai dalam perkongsian data. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan kajian impak terhadap Dasar Perkongsian Data Sektor Awam dan Dasar Perkongsian Data Nasional bagi mengenal pasti jurang pelaksanaan dan menilai keberkesanannya dalam menggalakkan perkongsian data.
Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus pada peringkat persekutuan dan negeri dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran dan penciptaan nilai dalam perkongsian data.
Laporan berkenaan juga menyatakan dalam menggalakkan perkongsian data, pengenalan Akta Omnibus akan mengawal selia pematuhan kepada peraturan perkongsian data dan storan awan.
Akta tersebut membolehkan semakan semula peraturan dan dasar dalaman agensi bagi menyokong keperluan perkongsian data dan pendigitalan.
Menurut laporan itu, repositori data sosioekonomi isi rumah yang dikenali sebagai Pangkalan Data Utama (PADU) akan dibangunkan dengan data mikro hampir masa nyata berkaitan individu seperti demografi, pendapatan dan bantuan sosial akan disimpan dalam platform itu sebagai rujukan kepada agensi kerajaan.
PADU akan menyediakan akses kepada individu untuk membuat semakan dan mengemas kini data peribadi dan pada masa sama kerajaan akan memastikan aspek kerahsiaan dan keselamatan data adalah terpelihara.
Menurut laporan itu, bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan perubahan dalam organisasi, kerajaan akan memastikan pelantikan Ketua Pegawai Digital (CDO) di semua kementerian dan agensi bagi mempercepat transformasi digital dan menggalakkan budaya kerja digital berdasarkan Panduan Pengurusan Perubahan Sektor Awam.
CDO akan bertanggungjawab untuk menerajui inisiatif berkaitan teknologi digital, tadbir urus data dan celik digital dalam organisasi.
Selain itu, kerajaan juga akan memperluas pembangunan 'Enterprise Architecture' (EA) di semua kementerian dan agensi bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan pengoperasian organisasi.
Laporan itu memaklumkan, Pelan Induk EA Sektor Awam akan menjadi garis panduan utama bagi kementerian dan agensi dalam menyelaras strategi pengoperasian organisasi dan penggunaan teknologi.
Menurut laporan itu, Rangka Tindakan Inovasi Sektor Awam akan menjadi dasar bagi menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam perkhidmatan awam supaya dapat mengalakkan setiap kementerian dan agensi menggunakan konsep penciptaan nilai melalui sesi libat urus dengan pelanggan.
-- BERNAMA
#RMK12 #perkongsian data #sektor awam #dasar perkongsian data nasional
;