RMK12: Kerajaan kaji dasar kerjasama awam swasta - Anwar

Bernama
September 11, 2023 13:39 MYT
Anwar berkata kerajaan juga sedang menggubal cukai baharu untuk dilaksanakan pada tahun 2024 termasuk Cukai Keuntungan Modal, tetapi akan memastikan ia tidak akan sesekali membebankan rakyat. - Gambar/ Japen
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti semula rencana pembangunan negara termasuk mengkaji dasar kerjasama awam swasta (PPP), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata penelitian semula tersebut adalah untuk memastikan pelaksanaan projek PPP dapat memanfaatkan rakyat dan negara, menggalakkan pelaburan swasta serta mengawal kesan kewangan kepada kerajaan pada masa hadapan.
"Dasar PPP yang jelas mengenai kaedah pertukaran tanah juga akan diperkenalkan," katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Penelitian semula rencana pembangunan negara adalah antara lima perkara pokok yang akan menjadi fokus kerajaan untuk memperkukuhkan semula kemampanan fiskal melalui anjakan utama Kemampanan Fiskal dan Sistem Kewangan.
Perkara lain yang menjadi tumpuan kerajaan adalah perluasan asas cukai, ketelusan dalam sistem perolehan, penambahbaikan mekanisme penyampaian subsidi bersasar serta penambahbaikan pengurusan hutang dan liabiliti.
Anwar berkata kerajaan juga sedang menggubal cukai baharu untuk dilaksanakan pada tahun 2024 termasuk Cukai Keuntungan Modal, tetapi akan memastikan ia tidak akan sesekali membebankan rakyat.
Katanya langkah ini diambil bagi memperluas asas cukai, mempelbagaikan sumber cukai serta menambah baik pentadbiran percukaian menerusi penggunaan teknologi.
"Namun harus ditegaskan bahawa kerajaan ini berkhidmat demi rakyat dan tidak akan sesekali membebankan rakyat dengan ketetapan cukai di luar kemampuan mereka. Prinsip yang kita angkat ialah pemerataan ekonomi yang adil demi kesejahteraan seluruh rakyat," jelas Perdana Menteri.
Anwar berkata pembaharuan fiskal diperlukan bagi memastikan pengurusan kewangan negara lebih berkesan dan mampan.
Beliau menambah penstrukturan semula subsidi elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain juga akan dilakukan demi memastikan pengurusan fiskal yang lebih berhemat dan mengurangkan herotan ekonomi.
"Jaminan diberikan bahawa rakyat yang kurang bernasib baik kekal menjadi keutamaan kerajaan untuk diselamatkan dan akan terus dibantu," tambahnya.
Anwar berkata pengagihan subsidi dan bantuan secara bersasar kepada rakyat akan diselaraskan melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berteraskan data isi rumah bagi meningkatkan kecekapan dan pemantauan bantuan kerajaan.
Menurutnya, penjimatan daripada subsidi yang lebih bersasar akan dapat diagihkan semula bagi tujuan projek pembangunan dan program rakyat.
-- BERNAMA
#RMK12 #kerjasama awam swasta #PPP #Anwar Ibrahim
;