RMK12: Ekonomi dunia diunjur berkembang 3.1 peratus setahun

Bernama
September 11, 2023 14:08 MYT
Pertumbuhan ekonomi negara maju diunjurkan sebanyak 1.6 peratus setahun, diterajui oleh Amerika Syarikat (AS). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ekonomi dunia diunjurkan berkembang sebanyak 3.1 peratus setahun dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2023 hingga 2025, didorong oleh pasaran pesat membangun dan ekonomi sedang membangun, terutama China.
Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Isnin, pasaran pesat membangun dan ekonomi sedang membangun dijangka mencapai kadar pertumbuhan purata sebanyak 4.0 peratus setahun dalam tempoh 2023 hingga 2025, manakala pertumbuhan ekonomi negara maju diunjurkan sebanyak 1.6 peratus setahun, diterajui oleh Amerika Syarikat (AS).
"Perdagangan dunia dijangka menjadi sederhana sebanyak 3.1 peratus setahun disebabkan oleh beberapa faktor yang menjejaskan permintaan global.
"Inflasi dan kos sara hidup yang tinggi, dasar monetari yang lebih ketat, ketidakstabilan sistem perbankan global, ketegangan geopolitik, peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 dan kemunculan ancaman baharu kesihatan global dijangka memberi kesan kepada prospek ekonomi dunia," menurut laporan itu.
Laporan itu menjelaskan ekonomi dunia dijangkakan berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2025.
Bagi tempoh sama, pasaran pesat membangun dan ekonomi sedang membangun dijangkakan mencatatkan pertumbuhan 4.6 peratus setahun, manakala negara maju diunjurkan berkembang sebanyak 2.6 peratus, tambah laporan itu.
Laporan itu juga memaklumkan dalam tempoh kajian semula, ekonomi dunia pulih daripada COVID-19 dan berkembang sebanyak 4.9 peratus setahun, dengan pasaran pesat membangun dan ekonomi sedang membangun berkembang 5.4 peratus setahun, manakala negara maju meningkat 4.0 peratus.
"Pertumbuhan ekonomi maju diterajui oleh AS, didorong oleh pelaburan tetap perniagaan serta perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan yang lebih tinggi," menurutnya.
Inflasi dunia meningkat sebanyak 6.7 peratus setahun berikutan konflik antara Rusia dan Ukraine yang berpanjangan dan harga komoditi yang tinggi, jelasnya.
-- BERNAMA
#RMK12 #ekonomi dunia #COVID-19 #Amerika Syarikat
;