RMK11: Fokus naik taraf pembangunan untuk rakyat Sabah

Fifi Harteeny Marzuki
Oktober 17, 2018 20:47 MYT
UDA SULAI: "Putatan ini adalah kawasan terkecil berbanding kawasan lain, infrastruktur di kawasan ini masih banyak kurang." - Foto Astro AWANI
Peruntukan untuk menaik taraf pembangunan serta membangunkan beberapa kemudahan asas untuk rakyat Sabah merupakan antara inti pati utama yang perlu diambil kira oleh Kerajaan Persekutuan dalam pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai berkata peruntukan infrastruktur untuk pembinaan balai bomba, hospital dan juga menaik taraf pembangunan wajar diberi perhatian oleh Kerajaan Pusat dalam misi membangunkan negeri Sabah.
Tambahnya, kawasan Putatan khasnya berpotensi menarik pelancong sekiranya Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk menjadikan kawasan Putatan sebagai 'lubuk pelancongan' yang mampu meningkatkan lagi pendapatan penduduk sekitar.
"Saya berharap agar banyak peruntukan disalurkan oleh Kerajaan Pusat dalam usaha membangunkan infrastruktur kemudahan asas rakyat di negeri ini khasnya Putatan kerana masih banyak kekurangan di kawasan ini seperti balai bomba dan hospital.
"Kita juga berhajat agar kawasan ini boleh dijadikan tempat perlancongan untuk meningkatkan ekonomi penduduk. Oleh itu, kita mengharapkan agar pembentangan bajet kali ini menitik berat soal pembangunan di negeri ini,"katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Uda yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri turut menekankan agar Kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan untuk mambantu Sabah khasnya Putatan menaik taraf bangunan yang sedia ada bagi keselesaan penduduk di daerah ini.
"Putatan ini adalah kawasan terkecil berbanding kawasan lain, infrastruktur di kawasan ini masih banyak kurang.
"Oleh itu, beberapa pusat tarikan harus diwujudkan seperti Sungai Petagas dimana kita mahu sungai ini dicantikkan untuk menjadi tumpuan pelancong yang datang ke daerah ini,"katanya.
Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan berlangsung esok di Dewan Rakyat pada jam 4 petang.
#bajet #balai bomba #Dewan Rakyat #ekonomi #Hospital #kerajaan Persekutuan #Mahathir Mohamad #pelancongan #Putatan #Rancangan Malaysia ke-11 #RMK11 #Uda Sulai #undang-undang
;