RMK-12: Peniaga harap bantuan kerajaan digandakan, kemudahan pinjaman

Petrus Bernard
September 24, 2021 09:19 MYT
Kesemua mereka berharap agar RMK-12 ini dapat memberi mereka sinar harapan untuk terus bertahan dalam perniagaan demi memulihkan ekonomi mereka seterusnya membantu memulihkan ekonomi negara. - Astro AWANI
TAWAU: Sepanjang penularan wabak COVID-19 yang melanda negara hampir dua tahun, semua sektor perniagaan mengalami kemerosotan ekonomi, malah ada yang terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos operasi.
Melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), rata-rata peniaga yang ditemui di sekitar daerah Tawau mengharapakan bantuan dan kemudahan pinjaman bagi memulihkan keadaan ekonomi mereka agar dapat bertahan dalam perniagaan.
Sekiranya mereka tidak dapat menerima bantuan, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain menutup perniagaan mereka.
Keadaan ini akan menyebabkan pengangguran semakin meningkat kerana ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan.
Bagi pengusaha Pasar Raya Gemilang Tawau, Arli Sabar, 46, bantuan Program Subsidi Upah (PSU) patut diteruskan dan kadar kejatuhan jualan 30 peratus kini perlu diturunkan kepada 20 peratus agar lebih ramai peniaga mendapat manfaat bantuan tersebut untuk terus bertahan dalam perniagaan.
"Saya mengharapkan bantuan subsidi upah ini dapat diteruskan dan diberikan kelonggaran sedikit, mungkin kita boleh menetapkan 20 peratus sahaja daripada penurunan jualan supaya semua industri yang terlibat di negara kita ini dapat bertahan dan seterusnya dapat mengurangkan jumlah pengangguran.
"Kita kena membantu industri ini sebab industri inilah yang membantu ekonomi di masa hadapan, jadi kami perlu bantuan kerajaan sekarang untuk kami kekal relevan dalam indsutri kami," katanya.
Turut terkesan ialah pengusaha restoran, Wong Nyuk Fah, 32, kerana tidak pernah menerima bantuan Geran Khas Pemulih (GKP) yang diperkenalkan kerajaan walaupun telah beberapa kali memohon.
"Sekarang perniagaan saya jatuh kerana kekurangan pelanggan. Saya harap kerajaan boleh longgarkan syarat GKP untuk naikkan semula perniagaa supaya kita boleh dapat bantuan tersebut," katanya.
Manakala peniaga pakaian, Jumliani Mohd Yusuf, 48, berkata dia amat terbeban dengan sewa kedai walaupun kerajaan telah memberi moratorium kepada pemilik bangunan kedai tersebut dan berharap agar bantuan GKP akan ditambah daripada amaun sebelumnya.
"Masih ramai pemilik premis ini tidak memberikan kelonggaran kepada penyewa sehingga menyebabkan penyewa terbeban kerana pertama, kita mengahadapi perniagaan yang tidak berjalan dan kedua, kita terpaksa menanggung kos sewa yang tinggi.
"Jadi kami mengharapkan pihak pemilik premis ini dapat memberikan kelonggaran sekurang-kurangnya 30 hingga 50 peratus itu sudah memadai bagi kami.
"Kalau boleh sekiranya kerajaan dapat memberikan kepada kami bantuan, kami mengharapkanlah sekiranya bantuan yang sedia ada dapat ditambahkan lagi," katanya.
Sementara itu Hervuddin Hashim, 46, yang terlibat dalam perniagaan industri seni kreatif, berharap kelonggaran dapat diberikan kepada mereka untuk memohon pinjaman MARA agar dapat meneruskan perniagaannya dan dapat memulihkan ekonomi.
"Saya sebagai pengusaha seni kreatif, saya ingin mohon pihak kerajaan untuk melonggarkan syarat memberi pinjaman MARA kepada kami pengusaha seni kreatif ini untuk memulihkan ekonomi kami dan juga ekonomi negara," katanya.
Kesemua mereka berharap agar RMK-12 ini dapat memberi mereka sinar harapan untuk terus bertahan dalam perniagaan demi memulihkan ekonomi mereka seterusnya membantu memulihkan ekonomi negara.
#RMKe-12 #pinjaman #bantuan #ekonomi
;