RMK-12: Pemangkin pembangunan pasca COVID-19
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
September 20, 2021 11:32 MYT
September 20, 2021 11:32 MYT
KUALA LUMPUR:
UMUM mengetahui kesan COVID-19 terhadap ekonomi negara.
Data-data ekonomi juga jelas menunjukkan bahawa tahun lalu negara kita telah mengalami kemelesetan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup sebanyak 5.6 peratus.
Pada tahun ini pula, tanda-tanda pemulihan telah mula kelihatan.
Namun ia masih lagi terdedah terhadap risiko COVID-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mula dilaksanakan pada pertengahan Mei lalu.
Justeru, ekonomi negara mula dilihat menguncup kembali sebanyak 4.4 peratus berdasarkan data bulanan KDNK pada bulan Jun 2021.
Meskipun demikian, pengharapan yang tinggi telah pun diletakkan terhadap program pemvaksinan yang kini berlangsung dengan begitu lancar.
Setakat 16 September, peratusan populasi dewasa yang telah lengkap divaksin adalah 76.8 peratus.
Angka ini jelas menunjukkan bahawa negara sedang berada di landasan yang betul untuk mencapai imuniti berkelompok dalam jangka masa terdekat ini.
Oleh yang demikian, pembentangan Rancangan Malaysia yang ke-12 (RMK-12) ini seharusnya menjadi suatu wadah bagi memperkasakan ekonomi negara pasca pandemik.
Persoalan yang mungkin bermain di fikiran adalah berkenaan perihal program pembangunan yang bakal dilaksanakan.
Hakikatnya, penularan wabak COVID-19 ini telah membuka mata tentang kepentingan teknologi dalam mengharungi kehidupan yang banyak cabarannya.
Sehubungan itu, program pembangunan seharusnya berpaksikan kepada penggunaan teknologi dalam usaha untuk memartabatkan taraf hidup rakyat.
Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seumpamanya telah banyak menggunakan teknologi seperti kemudahan internet dan peranti pintar.
Tanpa kewujudan teknologi, BDR dan PDPR tidak mungkin dapat dilaksanakan disebabkan maklumat-maklumat penting yang masih lagi tersimpan di pejabat dan di sekolah serta keperluan untuk bermesyuarat dan mengadakan sesi pembelajaran yang perlu dilakukan secara bersemuka.
Berdasarkan perkara ini, program pembangunan bukan lagi terhad kepada infrastruktur fizikal seperti jalan raya, elektrik, bangunan sekolah dan universiti dan sebagainya.
Kini, program pembangunan perlu meliputi infrastruktur Informasi, Komunikasi dan Teknologi atau ICT yang lebih komprehensif.
Ini termasuklah menaik taraf rangkaian internet 5G yang mempunyai kelajuan yang tinggi. Tidak kurang juga pemilikan peranti pintar serta kos-kos berkaitan langganan internet.
Perubahan-perubahan ini pula perlu diambil kira supaya program pembangunan akan lebih bersasar dan dapat meningkatkan produktiviti.
Sebagai contoh, program pembangunan berkaitan ICT berkemungkinan akan menyebabkan BDR akan diarusperdanakan oleh pihak swasta berikutan kesan praktikal seperti penjimatan kos dan peningkatan produktiviti.
Mungkin BDR ini bukanlah 100 peratus akan dilaksanakan oleh semua pihak setelah ekonomi telah mula pulih.
Tetapi, apa juga peratusan yang diambil, ia bakal memberi kesan kepada pasaran pejabat.
Oleh itu, pada masa akan datang, strategi untuk membina bangunan pencakar langit sebagai daya tarikan negara perlu difikirkan semula.
Selain daripada BDR dan PDPR, sektor pertanian dilihat sebagai potensi yang perlu digilap kembali. Ini adalah kerana Malaysia mempunyai keluasan tanah serta cuaca yang baik bagi tujuan pertanian.
Ketika PKP dilaksanakan, sektor ini merupakan antara sektor yang dibenarkan beroperasi. Ini menunjukkan betapa pentingnya sektor ini kepada rakyat Malaysia.
Namun, sektor agromakanan terutamanya, terus menerus mengalami imbangan dagangan defisit sebanyak RM21.8 billion pada tahun lalu berbanding RM1.1 billion pada tahun 1990.
Ini bermakna negara kita terlalu bergantung kepada pasaran import bagi memenuhi keperluan domestik.
Produk-produk pertanian seperti padi, daging lembu, cili dan halia antaranya mempunyai Kadar Sara Hidup atau SSL yang bawah dari 100 peratus.
Oleh itu, sektor pertanian juga wajar diberikan nafas baru di dalam RMK-12 dengan mengguna pakai teknologi terkini bagi menaikkan hasil pertanian.
Akhir kata, RMK12 merupakan suatu titik tolak penting bagi melonjakkan ekonomi negara bagi tempoh sederhana dan panjang.
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad