RMK-12: Kerajaan pergiat libat urus dengan pihak berkaitan

Rahimah Abdullah
Disember 17, 2020 13:05 MYT
Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berlainan dengan tahun-tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 membangkitkan semangat kerajaan untuk mengkaji idea dan permasalahan dihadapi rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan giat melakukan libat urus dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan pelbagai pandangan berhubung Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berlainan dengan tahun-tahun sebelumnya, pandemik COVID-19 membangkitkan semangat kerajaan untuk mengkaji idea dan permasalahan dihadapi rakyat.
"Kerajaan lebih meningkatkan libat urus antara pelbagai pihak. Kita telah melakukan banyak libat urus sebelum COVID-19 melanda lagi tetapi virus ini telah memberikan kita motivasi untuk buat lebih lagi.
"Kita telah mengadakan libat urus dengan persatuan sosial, pemimpin pelajar, ahli politik dan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang. Semua ini dilakukan kerana pandemik COVID-19 ini," katanya semasa pelancaran Pemantauan Ekonomi Malaysia Edisi Disember bertajuk Sowing the Seeds pada Khamis.
Katanya, pandemik COVID-19 juga turut memberi kesan besar kepada landskap ekonomi global termasuk Malaysia.
"Jadi kita perlu memberi tumpukan kepada isu ini. Maka sebarang rancangan perlu realistik.
"Banyak perancangan kita itu perlu dilihat semula berikutan COVID-19 ini. Namun, ia memberi peluang untuk kita melakukan lebih banyak libat urus lagi," ujarnya.
RMK-12 sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada 6 Ogos lalu, namun ditangguhkan ke Januari tahun depan.
#RMK12 #COVID-19 #Malaysia #Datuk Seri Mustapa Mohamed
;