RMK-12: Golongan petani harap perhatian, pelan jangka panjang
Abd Hadi Che Awang
September 26, 2021 17:15 MYT
September 26, 2021 17:15 MYT
ALOR SETAR: Tidak sampai 24 jam sebelum pebentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Parlimen, semestinya tumpuan lebih terarah kepada bagaimana pelan berkenaan mampu membawa Malaysia keluar daripada krisis ekonomi dan kesihatan ketika ini.
Namun tinjauan di Kedah mendapati, rakyat juga berharap kerajaan memberi fokus kepada usaha mensejahterakan kumpulan berpendapatan rendah termasuk golongan petani.
Pesawah, Kamarudin Abdul, 52, berkata bantuan perlu diberi bagi memastikan kos pengeluaran tidak melonjak dan membebankan petani sehingga mengganggu rantaian bekalan makanan negara.
"Sebagai petani saya mengharapkan dalam RMK-12, nasib petani akan terus dibela oleh kerajaan terutama dari segi menjaga kebajikan petani itu sendiri.
"Kami petani sekarang ini menghadapi banyak masalah terutama dari segi kos pengeluaran untuk menghasilkan padi itu sendiri. Kita bimbang di masa akan datang, harga barang pertanian seperti racun dan benih padi terus meningkat, jadi petani terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk mengeluarkan padi," katanya.
Penoreh getah, Mohd Rozai Yusuf, 54, berkata kerajaan juga perlu mencari kaedah untuk menstabilkan harga hasil pertanian supaya petani tidak mengalami kerugian disebabkan harga jatuh.
"Bagi saya dari segi harga ini, harapan saya kepada kerajaan kalau boleh kita stabilkan dan matikan (tetapkan) harga dia biar tetap kerana kadang-kadang harga ada naik ada turun.
"Bagi penoreh getah yang 100 peratus bergantung kepada hasil menoreh, apabila harga jatuh, pendapatan kami benar-benar terjejas. Jadi kami harap kerajaan boleh usahakan untuk mengekalkan harga," katanya.
Pekebun kecil, Mohd Arifin Mat Isa, 48, meminta kerajaan melalui jabatan serta agensi berkaitan, memperkemas dan mempelbagaikan strategi untuk memastikan petani dapat menjual hasil dengan cepat dan mudah.
"Harapan kita kerajaan boleh bantu apabila petani sudah ada hasil, kami dapat bawa keluar dan jual terus. Contoh sediakan tapak pengumpulan berpusat di setiap daerah, semua petani bawa ke pusat itu dan terus jual," katanya.
Pengusaha nanas, Kamarizan Md Deris, 51, berharap kerajaan dapat memperkenalkan subsidi untuk menyerap kenaikan kos barang-barang asas pertanian termasuk benih dan baja.
"Harapan kita untuk lima tahun ke hadapan ini, kerajaan dapat banyakkan jenis bantuan dan subsidi. Seperti baja, harganya agak tinggi sekarang, harap bantuan seperti itu dapat diberi kepada kita," katanya.