RM51.8 juta hasil jualan inovasi tempatan dijana melalui NTIS
Haikal Raman
Mei 31, 2023 14:14 MYT
Mei 31, 2023 14:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) menyasarkan membantu sehingga 100 produk atau penyelesaian untuk dikomersialkan menjelang tahun 2025.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, bagi mencapai unjuran tersebut, pihaknya pada tahun ini bakal membangunkan dua lagi tapak sandbox, menyelaras 70 buah syarikat pemula (startup) dan membantu 20 produk atau penyelesaian untuk dikomersialkan.
Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun penubuhan Kemajuan Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS), sebanyak 24 inovasi bagi menangani cabaran masyarakat dan sektoral berjaya dikomersialkan dan telah menjana hasil jualan sebanyak RM51.8 juta.
“Menerusinya, kita turut menjangkakan peluang pekerjaan akan terus meningkat dalam tempoh dua tahun akan datang, malah dilaporkan sebanyak 244 peluang pekerjaan telah diwujudkan pada ketika ini.
“NTIS ditubuhkan selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Nasional (DSTIN) 2021-2030 serta seiring dengan usaha MOSTI untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing serta meningkatkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
“Malah, ia turut meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Pendapatan Negara Kasar (PNK), meningkatkan penyertaan, pelaburan dan kerjasama dalam penyelidikan oleh sektor swasta serta meningkatkan kadar pengkomersilan negara,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Dua Tahun Kemajuan NTIS di HIVE 5, MRANTI di sini pada Selasa.
NTIS diterajui oleh MOSTI dengan MRANTI sebagai sekretariat utama yang turut disokong oleh MIMOS Bhd., Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan Futurise Sdn. Bhd.
Setakat ini, Sebanyak 10 tapak sandbox telah dimajukan dengan peruntukan bagi penyelesaian perubatan dan penjagaan kesihatan, pertanian dan perhutanan, bandar pintar dan pengangkutan, pembuatan pintar, alam sekitar dan biodiversiti dan lain-lain.
Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar, Jawatankuasa NTIS bekerja keras untuk penambahbaikan strategi dalam peralihan produk berasaskan teknologi secara berkesan ke arah pengkomersialan.
“Melalui NTIS, syarikat teknologi dan inovasi boleh memajukan prototaip serta pembuktian konsep mereka dalam persekitaran yang terkawal dan selamat. Dengan ujian tekanan dan sokongan dari segi pengawalseliaan, jangka masa untuk pemasaran sesuatu produk boleh disingkatkan.
“Penyelesaian teknologi tempatan boleh diakses oleh lebih banyak industri dan komuniti tempatan dengan mudah, tersedia dan mudah diakses,” ujarnya.
Program NTIS menyediakan laluan pantas untuk pembangunan dan pengujian langsung berasaskan penggerak teknologi termasuk sistem pintar canggih, bahan pintar, analisis tambahan dan teknologi penemuan serta dron dan robotik.
Beberapa syarikat telah berjaya menerusi NTIS termasuk MSD Innovation Sdn. Bhd., sebuah syarikat teknologi pertanian yang menggunakan sistem Smart Urban Farming di enam lokasi.
Ia telah membangunkan Manual Latihan Pertanian Bandar Pintar (SUF) yang mengandungi modul Teknikal dan Keusahawanan untuk melibatkan peserta B40 yang berusia antara 20 hingga 60 tahun sebagai petani pintar.
Pada majlis yang sama, Lih Kang turut melancarkan buku Dua Tahun NTIS serta menyaksikan perjanjian kerjasama antara NTIS, diwakili MRANTI, bersama TIME dotCom Berhad (TIME), serta MRANTI bersama Innovation & Technology Managers Association (ITMA) & Asiatech.