RM12: Kerajaan kurangkan pertindihan fungsi, semak undang-undang lapuk
Bernama
September 11, 2023 13:22 MYT
September 11, 2023 13:22 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dengan menyemak dan menyusun semula struktur serta fungsi kementerian dan agensi sebagai satu inisiatif Anjakan Besar tatakelola dan rangka kerja institusi bagi memastikan pengurangan pertindihan dan memperjelas lagi struktur dan fungsi kementerian dan agensi dalam sektor awam.
Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, pertindihan itu adalah isu dan cabaran berterusan dihadapi selain kerajaan akan terus meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dengan mengkaji dan memperkemaskan struktur dan fungsi kementerian dan agensi.
"Sesi libat urus bersama-sama kementerian dan agensi berkaitan akan dilaksana untuk menilai semula peranan dan fungsi sedia ada.
"Di samping itu, langkah akan diambil untuk menyemak semula undang-undang sedia ada dan perundangan yang lapuk," menurut laporan itu.
Kerajaan juga akan memperkukuh peranan dan fungsi agensi yang bertanggungjawab ke atas perundangan serta pengurusan perlindungan pemberi maklumat
Selain itu, usaha memperkasakan peranan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) merupakan antara inisiatif Anjakan Besar tatakelola dan rangka kerja institusi kerana ia ditubuhkan bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi MADANI.
Laporan itu menyatakan inisiatif utama yang dirancang termasuk mempercepatkan menaik taraf sekolah daif, penerimagunaan kaedah pembayaran tanpa tunai dan menambah baik urusan menjalankan perniagaan.
Inisiatif Anjakan Besar tatakelola dan rangka kerja institusi adalah langkah kerajaan yang akan memberi faedah signifikan seperti peningkatan produktiviti, kualiti perkhidmatan dan kepuasan rakyat.
-- BERNAMA