RM1 bilion untuk pulih, tambah pendapatan peneroka Felda

Muhafandi Muhamad
Mac 20, 2022 11:50 MYT
Mustapa menjelaskan peruntukkan RM1 bilion itu membabitkan projek sektor pertanian, penternakkan dan akuakultur. - Foto BERNAMA
TANAH MERAH: Sejumlah RM1 bilion diperuntukkan kerajaan dalam usaha memulihkan Felda dan menambahkan pendapatan peneroka di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha pemulihan Felda melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP) antara cadangan dalam Kertas Putih Felda seperti yang dibentangkan di Parlimen pada tahun 2019.
"Kertas Putih ini antara lainnya untuk merangka berberapa strategi memulihkan Felda kerana Felda menghadapi masalah.
"Salah satu strategi adalah untuk menambah pendapatan peneroka. Kertas ini juga telah memperincikan beberapa tindakan antaranya Program Pembangunan Peneroka atau PPP yang mana kerajaan menyatakan sejumlah RM1 bilion akan diagihkan kepada semua peneroka di seluruh negara," katanya.
Mustapa menjelaskan peruntukkan RM1 bilion itu membabitkan projek sektor pertanian, penternakkan dan akuakultur.
Katanya kerajaan mula mengagihkan geran peruntukkan pada tahun 2020 melibatkan RM174 juta yang diluluskan kepada semua peneroka di seluruh negara.
Ianya melibatkan RM108 juta untuk penternakan, RM51 juta untuk pertanian manakala RM10 juta lagi untuk sektor akuakultur.
Program Pembangunan Peneroka (PPP) telah memberi manafaat kepada 55 ribu peneroka Felda di 317 tanah rancangan seluruh negara.
Program tersebut melibatkan penyertaan peneroka samada melalui penglibatan secara plasma (individu) atau melalui koperasi.
Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,225 Projek PPP Felda di seluruh negara.
Mustapa berkata demikian selepas meninjau projek ternakan arnab terbesar di Felda Kemahang, salah satu projek yang dilaksanakan melalui kaedah koperasi di Felda Kemahang Satu petang semalam.
Kerajaan meluluskan geran berjumlah RM456,000 untuk projek ternakan arnab dengan 455 peneroka dari wilayah Gua Musang terlibat.
Projek ternakan arnab itu bermula pada 1 Jun 2021 dengan hasil jualan dikongsikan bersama peneroka yang terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan beliau turut memaklumkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) telah menjalinkan kerjasama dengan Mydin Wholesales bagi memasarkan produk keluaran peneroka Felda.
Beliau menjelaskan, di samping itu penguasaan Felda ke atas FGV dapat memperkukuhkan lagi Program Pembangunan Peneroka Felda.
Selain itu juga ianya dapat menterjemahkan hasrat Felda untuk menjadi hub pengeluaran makanan negara.
#Felda #Mustapa Mohamed #Program Pembangunan Peneroka Felda #kertas putih
;