Rizab Persekutuan Amerika akhirnya turunkan 50 mata asas kadar faedah

Najib Aroff
September 18, 2024 07:15 MYT
Rizab Persekutuan (The Fed) Amerika Syarikat (AS) memotong 50 mata asas kadar faedah, satu angka yang besar setelah sekian lama tidak menurunkan kadar itu.
RIZAB Persekutuan (The Fed) Amerika Syarikat (AS) memotong 50 mata asas kadar faedah, satu angka yang besar setelah sekian lama tidak menurunkan kadar itu.
Pemotongan itu bertujuan meredakan kembali pasaran pekerjaan dan menurunkan kadar inflasi.
"Keputusan ini mencerminkan keyakinan kami yang semakin meningkat bahawa dengan penyesuaian semula bagi pendirian dasar kami, kekuatan dalam pasaran buruh boleh dikekalkan dalam konteks pertumbuhan sederhana dan inflasi bergerak secara mampan turun kepada 2 peratus," kata Pengerusi The Fed, Fed Jerome Powell dalam sidang akhbar selepas Bank Pusat AS mengurangkan kadar faedah semalaman kepada julat 4.75 peratus hingga 5.00 peratus.
Powell berkata, dua mandat utama Bank Pusat iaitu inflasi dan pasaran pekerjaan kini hampir seimbang, pemotongan kadar itu menandakan permulaan yang kukuh untuk melindungi ekonomi dan pasaran buruh, selain harus dilihat sebagai langkah supaya AS tidak ketinggalan di belakang.
Pengumuman itu nyata mengejutkan ramai bahkan Gabenor The Fed sendiri berbeza pendapat dengan mahukan hanya suku mata pemotongan kepada kadar faedah.
Namun pembuat dasar The Fed membayangkan akan ada lagi pemotongan setengah mata menjelang akhir tahun ini, 1 peratus pada 2025 dan akhir sekali separuh mata pada 2026 menjadikan julat kadar pada 2.75 peratus hingga 3.00 peratus.
The Fed mengekalkan kadar faedah tinggi pada 5.25 peratus hingga 5.50 peratus sejak Julai 2023 dalam usaha mengawal inflasi yang melonjak sejak 2022 ke paras 40 tahun tertinggi.
Powell berkata, inflasi kini hampir kepada sasaran The Fed pada 2 peratus dan keadaan pasaran buruh termasuk pengangguran berada pada 4.2 peratus, angka yang konsisten dengan sasaran Bank Pusat itu.
Namun, pemerhati pasaran melihat pemotongan besar yang diumum The Fed akan menimbulkan persoalan tentang strategi The Fed, sama ada pembuat dasar hanya cuba mengambil kira penurunan inflasi yang pantas sejak tahun lepas, atau menangani kebimbangan di kalangan sesetengah pegawai The Fed bahawa pasaran pekerjaan AS mungkin semakin lemah lebih pantas daripada yang diingini.
Inflasi, berdasarkan ukuran yang diguna pakai The Fed, kini 50 mata di atas paras 2 peratus.
#The Fed #rizab persekutuan #mata asas #kadar faedah
;