Rizab Malaysia tetap boleh guna, tiada halangan menggunakannya - BNM

Bernama
September 30, 2014 07:34 MYT
BNM melaporkan rizab antarabangsa Malaysia berjumlah US$132 bilion (US$1 = RM3.27) pada 29 Ogos 2014. -Gambar fail
Butiran terperinci rizab antarabangsa Malaysia mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan bahawa pada pada akhir Ogos 2014, rizab negara tetap boleh guna dan tiada halangan untuk menggunakannya.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa berdasarkan SDDS, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat tentang saiz, jenis dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain.
Ia juga menyediakan aliran masuk dan keluar pertukaran asing yang telah dianggarkan terlebih dahulu dan aliran masuk dan keluar potensi pada masa hadapan bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.
Awal bulan ini, BNM melaporkan rizab antarabangsa Malaysia berjumlah US$132 bilion (US$1 = RM3.27) pada 29 Ogos 2014.
Ia berkata paras rizab itu mencukupi untuk membiayai sembilan bulan import tertangguh dan adalah 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Selain aset rizab rasmi yang dilaporkan sebelum ini, BNM dalam butiran terperinci berdasarkan format SDDS itu hari ini, menunjukkan aset mata wang asing lain yang berjumlah US$5.62 bilion pada akhir Ogos 2014.
Pendedahan itu menunjukkan bahawa aliran keluar jangka pendek pinjaman dalam mata wang asing diunjurkan sebanyak US$1.50 bilion, disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan.
Bank pusat berkata sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data ini tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak US$2.70 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Sementara itu, butiran terperinci itu juga menunjukkan jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak US$1.05 bilion pada akhir Ogos.
BNM berkata satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$227.8 juta.
"Tiada sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang berserta opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain. Bank Negara Malaysia tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," kata BNM.
#BNM #IMF #rizab #SDDS #Special Data Dissemination Standard #Tabung Kewangan Antarabangsa