Rizab antarabangsa Malaysia cukup bagi biayai lapan bulan import tertangguh

Astro Awani
Disember 1, 2020 14:12 MYT
Abd Rahim Bakri berkata, rizab negara menunjukkan peningkatan sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.71 bilion). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Malaysia sejumlah AS$105 bilion (RM436.5 bilion) sehingga 30 September lalu mencukupi untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, rizab negara menunjukkan peningkatan sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.71 bilion) berbanding AS$103.6 bilion (RM422.38 bilion) pada akhir tahun.
“Rizab antarabangsa digunakan bagi maksud tertentu dan bukan untuk membiayai belanjawan atau membiayai pakej rangsangan ekonomi susulan pandemik COVID-19.
"Pakej rangsangan ekonomi telah dibiayai terutamanya melalui pinjaman domestik daripada pasaran kewangan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) berhubung jumlah rizab negara dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) setakat bulan September 2020.
#Bank Negara Malaysia #Belanjawan 2021 #Parlimen #Dewan Rakyat #rizab negara
;