Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$119.7 bilion pada 30 Sept, 2024

Bernama
Oktober 7, 2024 18:45 MYT
Menurut BNM, paras rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek. - Foto BNM
KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$119.7 bilion (AS$1=RM4.27) pada 30 Sept, 2024 daripada AS$116.8 bilion pada 30 Ogos lepas.
Paras rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek, kata bank pusat itu dalam kenyataannya hari ini.
BNM menyatakan paras rizab itu telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.
Komponen utama rizab itu merangkumi rizab pertukaran asing (AS$106.8 bilion) dan diikuti dengan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bernilai AS$1.3 bilion, hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.9 bilion), emas (AS$3.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.4 bilion).
Jumlah aset sebanyak RM601.33 bilion yang merangkumi emas dan rizab pertukaran asing termasuk SDR (RM491.63 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.58 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM5.26 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM25.57 bilion), tanah dan bangunan (RM4.10 bilion) serta aset-aset lain (RM62.18 bilion).
BNM berkata modal dan liabiliti berjumlah RM601.33 bilion terdiri daripada modal berbayar (RM100.0 juta), rizab (RM178.87 bilion), mata wang dalam edaran (RM165.31 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM144.18 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM4.87 billion), deposit lain (RM64.96 bilion), kertas Bank Negara (RM12.19 bilion), peruntukan SDR (RM27.22 bilion) dan liabiliti lain (RM3.60 bilion).
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #rizab antarabangsa #membiayai import barangan dan perkhidmatan #hutang luar negara jangka pendek
;