Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$113.3 bilion setakat 15 Mei, 2024

Bernama
Mei 23, 2024 17:45 MYT
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$113.3 bilion (AS$1= RM4.71) setakat 15 Mei, 2024 berbanding AS$112.8 bilion pada 30 April, 2024. - Gambar fail/BNM
KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$113.3 bilion (AS$1= RM4.71) setakat 15 Mei, 2024 berbanding AS$112.8 bilion pada 30 April, 2024.
Bank pusat itu berkata kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Komponen utama rizab itu ialah rizab mata wang asing, berjumlah AS$101.1 bilion, diikuti rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.7 bilion), emas (AS$2.8 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).
Jumlah aset berjumlah RM634.38 bilion, merangkumi emas dan rizab pertukaran asing, termasuk SDR (RM536.58 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.0 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM4.96 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.66 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM51.06 bilion).
BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100.0 juta), rizab (RM195.66 bilion), mata wang dalam edaran (RM165.59 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM141.72 bilion), deposit kerajaan persekutuan ( RM13.84 bilion), deposit lain (RM64.63 bilion), kertas Bank Negara (RM18.68 bilion), peruntukan SDR (RM30.21 bilion), dan liabiliti lain (RM3.95 bilion).
-- BERNAMA
#Rizab Antarabangsa Bank Negara #rizab meningkat #import barangan dan perkhidmatan #hutang luar negara
;