Rizab antarabangsa Bank Negara RM424.9 bilion
Bernama
Disember 1, 2012 09:36 MYT
Disember 1, 2012 09:36 MYT
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM424.9 bilion (bersamaan US$138.6 bilion) pada 14 Nov, mencukupi untuk membiayai 9.2 bulan import tertangguh dan 4.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Permodalan sistem perbankan terus kukuh dengan nisbah modal wajaran risiko (RWCR) dan nisbah modal teras (CCR) masing-masing meningkat 15.3 peratus dan 13.6 peratus, kata Bank Negara dalam satu kenyataan.
Ini terutamanya disebabkan oleh inisiatif menerbitkan modal yang telah dirancang oleh sebuah institusi.
Paras pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 1.4 peratus daripada pinjaman bersih, sementara nisbah perlindungan kerugian pinjaman kekal pada 102.4 peratus.
Pada Oktober, ringgit menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding dengan kebanyakan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.
Ringgit menambah nilai sedikit berbanding dolar AS susulan minat pelabur yang meningkat terhadap aset Malaysia setelah pengumuman data ekonomi negara yang lebih baik daripada jangkaan dan data ekonomi AS yang positif.
Ringgit juga menambah nilai berbanding dengan yen Jepun dan euro, namun menyusut nilai berbanding renminbi China dan dolar Singapura.
Pada November, ringgit susut sedikit berbanding dolar AS apabila kebimbangan mengenai kedudukan fiskal AS melembapkan sentimen pelabur secara keseluruhan mempengaruhi permintaan terhadap aset pasaran sedang pesat membangun.