Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah AS$116.9 bilion setakat 31 Dis 2021

Bernama
Januari 7, 2022 08:53 MYT
Bank Negara berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah AS$116.9 bilion pada 31 Disember 2021, tinggi sedikit berbanding AS$116.3 bilion pada 15 Dis.
Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa ialah rizab mata wang asing (AS$104.1 bilion), kedudukan rizab IMF (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$6.0 bilion), emas (AS$2.3 bilion), dan aset rizab lain (AS$3.1 bilion).
Mengenai aset, bank pusat berkata ia terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM486.79 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.21 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM880.26 juta), pinjaman dan pendahuluan (RM22.87 billion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset lain (RM24.65 bilion).
Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar berjumlah RM100 juta, rizab (RM186.75 bilion), mata wang dalam edaran (RM150.01 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM159.89 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM8.59 bilion), deposit lain (RM4.79 bilion), kertas Bank Negara (RM7.91 bilion), peruntukan SDR (RM28.15 bilion) dan liabiliti lain (RM5.31 bilion).
-- BERNAMA
#rizab antarabangsa #Bank Negara Malaysia #IMF #emas