RiVAC mampu imbangi kelangsungan ekonomi dan pengawalan COVID-19
Eton Khir
Julai 26, 2021 18:56 MYT
Julai 26, 2021 18:56 MYT
KUALA LUMPUR: Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) mampu memberi impak besar ke arah mencapai sasaran kelompok imuniti dalam kalangan pekerja sektor itu dan melindungi pengguna bagi membendung penularan COVID-19.
Selain itu ia juga mampu mengimbangi keperluan antara kelangsungan ekonomi negara dan mengawal penularan pandemik itu.
Ketua Penolong Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Zulkifli Yaacob berkata, program RiVAC ini dilaksanakan bagi mengukuhkan kepercayaan pengguna kepada industri peruncitan bagi meneruskan perkhidmatan dalam suasana negara berdepan dengan pandemik.
"Kita mensasarkan sebanyak 31,000 pekerja barisan hadapan sektor ekonomi khususnya peruncitan yang turut melibatkan stesen minyak, our retail side dan sebagainya. Objektif utamanya adalah untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa sektor ini telah bersedia untuk mereka. Kita melaksanakan vaksinasi ini agar mereka tidak lagi was-was apabila industri ini dibuka nanti," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Mid Valley ibu negara pada Isnin.
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati, rata-rata penerima vaksin bagi program RiVAC ini kelihatan teruja untuk mendapatkan dos pertama mereka.
Disamping itu, mereka turut menyifatkan inisiatif pelaksanaan program ini sangat efektif bagi memastikan sektor peruncitan dapat memberikan perkhidmatan membeli-belah dan pengalaman pengguna yang selamat serta meyakinkan.
Menurut Halaliyah Abdullah, 21, RiVAC ini perlu diperluaskan ke beberapa lokasi atau daerah lain.
"Bagi saya program ini bagus untuk teruskan dan diperluaskan di daerah yang lebih terpencil lagi memudahkan orang sekeliling untuk datang," katanya.
Manakala, bagi Nordiana Mat Daud, 38, inisiatif ini perlu diteruskan bagi mempercepatkan proses pembukaan semula ekonomi kerana ramai yang terancam dengan kehilangan pekerjaan serta kedudukan kewangan yang tidak stabil akibat pandemik yang melanda.
"Mempercepatkan vaksinasi bagi sektor ini adalah sangat bagus agar dapat mengelakkan jangkitan. Ini kerana, kini kenalan rapat dan pekerja di restoran saya telah ada yang telah dijangkiti.
"Ianya akan menyukarkan keadaan apabila terpaksa menutup perniagaan malah ada yang turut terkesan kehilangan pekerjaan ketika pandemik ini. Lebih lagi, dengan isu ekonomi yang tidak stabil saat ini," katanya.
Bagi Nurazma Alida Azman, 20, dia bersetuju dengan inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan itu agar dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 bagi pekerja sektor industri sepertinya.
"Dalam sektor saya yang bekerja sebagai juruwang di stesen Petronas. Di situ, saya akan jumpa ramai pelanggan maka jika saya tidak divaksinasi, kemungkinan besar saya akan mendapat COVID-19 adalah sangat tinggi. Jadi apabila saya telah mengambil dos pertama ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kadar jangkitan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz turut menyambut baik inisiatif kerajaan untuk melaksanakan RiVAC khusus buat pekerja sektor peruncitan.
Langkah itu dijangka dapat memberi manfaat bagi sektor peruncitan agar dapat terus beroperasi sekali gus memastikan pemain industri meneruskan kelangsungan perniagaan.
"Saya amat berterima kasih kepada KPDNHEP kerana melaksanakan program ini. Ramai pekerja kami yang meninggal dunia dan ada juga yang telah positif COVID-19.
"Tetapi malangnya, ada pengusaha-pengusaha di luar yang masih belum lagi mendaftarkan pekerja mereka untuk divaksin. Jadi saya sarankan dekat sini ada 21 hari lagi akan dibuka dan ada empat lagi akan dibuka di sekitar Lembah Klang. Maka, saya minta semua datang untuk vaksinasi . Ianya demi menjaga kesihatan pekerja dan pelanggan," katanya lagi.
#Astro
#Astro Awani
#COVID-19
#dos pertama
#ekonomi
#jangkitan
#Klang
#Malaysia
#minyak
#pandemik
#pembukaan semula ekonomi
#Petronas
#program vaksinasi
#vaksin