Risiko konflik jejaskan jumlah kapal, pelayaran lebih lama pada separuh tahun pertama
Bernama
April 17, 2024 04:30 MYT
April 17, 2024 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelayaran yang lebih lama serta pengurangan dalam jumlah kapal dijangka pada separuh pertama tahun ini berikutan peningkatan "premium risiko perang" di Timur Tengah, yang mendorong lebih banyak firma perkapalan memilih laluan Tanjung Harapan di Afrika .
AmInvestment Bank Bhd (Am IB) berkata, laluan itu menokok 4,000 batu kepada jarak pelayaran dan tambahan dua minggu masa transit.
"Masa pelayaran yang dilanjutkan akan memberi kesan kepada pemulangan kontena kosong ke Asia, ini menyebabkan masalah kekurangan kontena, seterusnya menjejaskan kapasiti yang ada untuk kapal yang berlepas dari Eropah dan dengan itu merencatkan pemunggahan kargo dari pelabuhan," kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Namun, kekurangan itu hanya bersifat sementara memandangkan pembekalan kapal telah meningkat sejak pandemik.
"Selain itu, Maersk telah menggunakan pendekatan kos efektif untuk kekal berdaya tahan melalui penggunaan laut-udara, membolehkan pelanggan mengangkut barangan dari Asia Pasifik melalui Tanjung Pelepas dan pemindahan udara ke lapangan terbang utama di seluruh dunia,", katanya lagi.
Am IB telah mengulangi saranan "wajaran tinggi" ke atas sektor pelabuhan walaupun terdapat kemungkinan krisis di Timur Tengah membahang memandangkan kos penghantaran barang akan terus melonjak dalam tempoh terdekat.
"Walaupun telah melemah sedikit, indeks perkapalan kekal pada paras tertinggi 10 tahun daripada jangkaan risiko serta kos pengangkutan laut yang lebih tinggi," kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya pada Rabu.
Ia juga mengekalkan penarafan wajaran tinggi ke atas sektor minyak dan gas kerana ia melihat potensi peningkatan pendapatan untuk syarikat dalam industri berkenaan.
"Bagi senario asas, kami mengekalkan jangkaan harga minyak mentah Brent 2024 sebanyak AS$85 setong serta pemulihan dalam pengeluaran kargo menjelang suku ketiga berdasarkan andaian peningkatan kecil atau tiada konflik dengan persekitaran geopolitik kekal tidak berubah. . Pada masa ini, paras bekalan dan permintaan global kekal dalam jangkaan kami secara keseluruhan," katanya.
"Untuk senario terburuk, unjuran adalah lebih tinggi bagi harga minyak mentah Brent iaitu mencecah paras AS$95 setong termasuk penangguhan dalam pemulihan pengeluaran kargo sehingga separuh pertama 2025 berdasarkan andaian penurunan ketara dalam pengeluaran minyak Iran, yang akan memaksa China kembali ke pasaran minyak rasmi bagi memenuhi permintaan penapisan semasa dan penggubahan semula laluan kapal-kapal yang melalui Tanjung Harapan," tambahnya. - BERNAMA