Ringgit tunjuk tanda kenaikan - Gabenor BNM

Bernama
Ogos 18, 2023 14:55 MYT
Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata perkembangan global terus menjadi faktor utama yang mendorong keadaan kewangan domestik pada suku kedua 2023. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit susut sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2023 namun meningkat sebanyak 1.1 peratus dalam tempoh suku ketiga setakat ini (setakat 15 Ogos, 2023) berikutan jangkaan yang semakin meningkat bahawa pengetatan dasar monetari di Amerika Syarikat (AS) hampir berakhir.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata perkembangan global terus menjadi faktor utama yang mendorong keadaan kewangan domestik pada suku kedua 2023.
"Sentimen pasaran kewangan global terjejas disebabkan oleh kebimbangan berhubung dengan prospek pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan dan pemulihan ekonomi di China yang lebih lemah daripada jangkaan," katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata kebimbangan ini semakin bertambah berikutan kebimbangan terhadap krisis had hutang tertinggi AS dalam tempoh dua bulan pertama suku kedua, bersama-sama dengan jangkaan semasa pasaran kewangan bahawa dasar monetari akan terus diperketat di ekonomi-ekonomi maju.
BNM akan terus memantau keadaan kewangan global serta domestik dengan teliti serta memastikan pelarasan pasaran kekal teratur.
Abdul Rasheed berkata keberadaan BNM dalam pasaran pertukaran asing adalah untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.
Pertumbuhan kredit sektor bukan kewangan swasta menjadi sederhana, bon korporat meningkat
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan menjadi sederhana kepada 3.8 peratus (suku pertama 2023: 4.1 peratus) disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul yang lebih perlahan.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 4.9 peratus (suku pertama 2023: 4.4 peratus).
Sementara itu, pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 0.7 peratus disebabkan terutama oleh pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman modal kerja kepada syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Namun begitu, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan kekal mampan, dengan mencatatkan pertumbuhan yang stabil bagi pembelian aset tetap dan hartanah bukan kediaman.
Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul berkembang sebanyak 5.1 peratus didorong terutama oleh pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kereta.
-- BERNAMA
#Bank Negara #BNM #ringgit meningkat #Abdul Rasheed Ghaffour
;