Ringgit tidak lagi terkurang nilai, dijangka cecah RM4.25 akhir tahun ini - Ahli ekonomi

Bernama
Ogos 28, 2024 07:00 MYT
Mata wang domestik berkemungkinan besar meneruskan trajektori menaik, yang berpotensi mencecah RM4.25 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit tidak lagi dianggap sebagai terkurang nilai selepas melepasi paras RM4.35 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan.
Beliau berkata, mata wang domestik berkemungkinan besar meneruskan trajektori menaik, yang berpotensi mencecah RM4.25 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.
Nilai ringgit kini dipacu terutamanya oleh dinamik pasaran, ditentukan oleh kuasa penawaran dan permintaan, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pelabur asing pula mungkin terus membeli aset dalam denominasi ringgit sehingga tahun depan, dengan menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS mula mengurangkan kadar faedahnya pada September.
Susulan perkembangan terkini di AS, ahli ekonom itu mengunjurkan pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada tahun ini, diikuti dengan tiga kali pengurangan lagi berjumlah 75 mata asas pada 2025.
Mohd Sedek berkata, minat dana asing terhadap Bursa Malaysia melonjak pada 16 Ogos lepas dan momentum itu dijangkakan kekal.
"Pelabur asing akan terus meningkatkan pegangan mereka dalam sektor mewah terutama kewangan, memandangkan pengurangan kadar faedah akan memberikan manfaat besar kepada industri ini.
"Berdasarkan perolehan lebih rendah yang dicatatkan aset pendapatan tetap seperti bon, pelabur mungkin tertarik dengan saham yang membayar dividen. Bank-bank Malaysia yang terkenal dengan pembayaran dividen yang konsisten, boleh menarik aliran masuk pelaburan yang besar," katanya.
Kalangan bank melaporkan prestasi kewangan yang lebih kukuh dalam musim pelaporan yang masih berlangsung, sekali gus meningkatkan minat terhadap saham masing-masing.
Pada Rabu, Maybank mengumumkan keuntungan bersihnya meningkat 8.2 peratus kepada RM2.53 bilion bagi suku kedua, daripada RM2.34 bilion pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Prestasi itu dipacu perolehan yang lebih tinggi sebanyak RM17.17 bilion berbanding RM16.13 bilion bagi tempoh yang sama.
Keuntungan bersih Public Bank bagi suku kedua juga meningkat kepada RM1.78 bilion daripada RM1.61 bilion setahun sebelumnya manakala perolehan menokok kepada RM6.69 bilion daripada RM6.26 bilion.
Bank Islam Malaysia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM137.16 juta bagi suku kedua berbanding RM136.13 juta pada suku kedua sebelum ini.
Bagaimanapun, keuntungan bersih RHB Bank susut kepada RM722.31 juta pada suku itu, daripada RM808.70 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023.
CIMB Bank dijangka mengumumkan prestasi kewangan lewat minggu ini. - BERNAMA
#Bursa Malaysia #CIMB #rizab persekutuan #keuntungan bersih