Ringgit teruskan peningkatan berbanding dolar AS

Bernama
Ogos 28, 2024 21:45 MYT
Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.3425/3460 berbanding dolar AS daripada 4.3460/3500 semasa ditutup pada Selasa. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatan berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut berikutan kesan limpahan daripada minat pelabur asing terhadap bursa tempatan, kata ahli ekonomi.
Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.3425/3460 berbanding dolar AS daripada 4.3460/3500 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur asing merekodkan pembelian bersih berjumlah RM1.2 bilion dari 1 Ogos hingga 27 Ogos.
"Ini menunjukkan pelabur asing telah memperlihatkan minat yang kukuh terhadap pasaran modal Malaysia, yang berkesan menghasilkan permintaan yang lebih tinggi untuk ringgit," katanya kepada Bernama.
Bursa Malaysia melanjutkan kenaikan hari ini, dengan indeks utama ditutup hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan kepada 1,675.24 daripada 1,652.29.
Prestasi ini dipacu oleh lonjakan sentimen dalam sektor kewangan, disokong oleh laporan prestasi kewangan sukuan yang kukuh oleh kalangan penggiat utama.
Mohd Afzanizam menjangkakan gandingan mata wang dolar AS/ringgit akan menguji paras sokongan segera pada RM4.3000 dalam tempoh terdekat berikutan jangkaan penurunan kadar faedah penanda aras Amerika Syarikat (AS) pada September.
"Selain itu, semakan semula penarafan negara untuk Malaysia oleh bank pelaburan global akan turut menarik lebih ramai pelabur luar negara membeli aset kewangan Malaysia," katanya.
Ringgit kebanyakannya lebih tinggi semasa ditutup berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.0096/0122 daripada 3.0006/0035 pada Selasa tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.8362/8401 daripada 4.8532/8576dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7425/7472 daripada 5.7511/7564 semalam.
Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3337/3367 daripada 3.3331/3364 pada Selasa dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 281.5/281.9 daripada 280.4/280.8.
Ia turut menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.7709/7865 daripada 12.7523/7712 semasa ditutup semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.73.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #pelaburan #kesan limpahan #mata wang tempatan