Ringgit terus positif, naik 7.86 peratus sehingga kini berbanding dolar AS

Bernama
September 17, 2024 19:37 MYT
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.2535/2645 berbanding dolar AS daripada 4.2975/3050 ketika ditutup pada Jumaat lepas. - Gambar fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat 7.86 peratus setakat tahun ini, mencatat paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan berbanding dolar AS apabila pasaran menunggu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.2535/2645 berbanding dolar AS daripada 4.2975/3050 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Pasaran ditutup pada Isnin, 16 September, 2024 sempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penurunan Indeks Dolar AS (DXY) kepada sekitar 100 mata mungkin memberi petunjuk yang Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mencadangkan pemotongan kadar faedah yang agresif minggu ini.
"Mungkin dengan memulakan pemotongan kadar faedah sebanyak 50 mata asas akan meredakan kebimbangan terhadap kemungkinan kelembapan ekonomi dan Fed perlu menunjukkan ketegasan mereka untuk memastikan matlamat pekerjaan maksimum dapat dicapai.
"Tempoh masa dan saiz pengurangan kadar faedah adalah penting untuk memastikan kejayaan dalam mencapai pertumbuhan yang stabil pada masa akan datang," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.
Beliau berkata ringgit berkemungkinan mendapat manfaat utama daripada pergerakan penanda mata wang kerana ia akan membolehkan jurang kadar faedah yang lebih kecil antara Kadar Dana Fed (FFR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada masa akan datang.
Setakat tahun ini, ringgit juga meningkat 5.65 peratus berbanding dolar Singapura kepada 3.2891/2979 berbanding 3.3098/3159 pada Jumaat lepas.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama ketika ditutup hari ini.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.7375/7498 daripada 4.7664/7747 pada penutupan Jumaat lalu, naik berbanding pound Britain kepada 5.6240/6385 daripada 5.6439/6538 dan melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.0244/0324 daripada 3.0570/0625 sebelumnya.
Selain meningkat berbanding dolar Singapura, ringgit juga diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/278.2 daripada 278.9/279.6, meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.66 daripada 7.67/7.69, dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.7725/8105 daripada 12.8907/9190 sebelumnya.
-- BERNAMA
#ringgit terus positif #dolar AS #mata wang tempatan #catat paras tertinggi
;